SEPANG – Kementerian Kesihatan menafikan berlakunya kekurangan bekalan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan kerajaan ketika ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin menjelaskan, semua hospital dan klinik di bawah kementerian itu mempunyai bekalan ubat yang mencukupi.
“Kementerian akan terus memantau pusat kontrak kami untuk memastikan jumlah stok ubat di fasiliti kementerian mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Sebelum ini, timbul isu berkenaan kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal, dikatakan melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
Mengenai kekurangan ubat yang dihadapi oleh klinik dan farmasi swasta, Khairy menambah, kementerian telah bekerjasama dengan organisasi berkaitan untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai isu itu.
Antara maklum balas yang diterima ialah kekurangan ubat-ubatan untuk cirit-birit, demam, selsema, selesema, batuk, antibiotik dan vitamin terutamanya vitamin C.
“Saya telah meminta Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal untuk segera mencari sumber alternatif bekalan perubatan yang boleh kita terokai bagi menangani isu kekurangan itu.
“Pembahagian itu juga untuk melihat tindakan sekiranya kekurangan itu berlarutan,” kata Khairy.
Khairy memberitahu, kerjasama dengan pemain industri farmaseutikal tempatan mesti dipertingkatkan supaya mereka dapat membina rantaian bekalan yang lebih berkesan.
“Ini bagi memastikan bekalan ubat negara tidak terjejas akibat kekurangan pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette