Home Politik Bon Odori: Inilah sebabnya Pas tidak patut tadbir negara – Ahli...

Bon Odori: Inilah sebabnya Pas tidak patut tadbir negara – Ahli DAP

Muhammad Shakir Ameer Mohideen.-Foto FB Shakir Ameer

KUALA LUMPUR – Seorang ahli DAP menyifatkan nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad agar umat Islam tidak menyertai program Festival Bon Odori sebagai bukti mengapa Pas tidak harus diberi peluang mentadbir negara.

Muhammad Shakir Ameer Mohideen yang merupakan bekas Naib Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) mendakwa, kenyataan Idris yang merupakan Naib Presiden Pas menunjukkan kurangnya kefahaman dan kejahilan terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia.

“Inilah sebabnya parti seperti Pas tidak harus diberi peluang untuk mentadbir negara lagi.

“Mereka akan merosakkan fabrik sosial negara dan mengharamkan setiap perayaan budaya sesuka hati sambil menilai orang lain. Apa yang mereka lakukan sekarang hanyalah permulaan,” kata Ahli Majlis Perbandaran Shah Alam itu dalam kenyataan yang ditulis di Facebooknya.

Tambah Muhammad Shakir, Bon Odori seperti kebanyakan perayaan kebudayaan akan ada pengkomersilan tertentu dan kemungkinan akan diubah suai untuk memenuhi kehendak khalayak.

Perkara itu menurutnya, turut berlaku dalam sambutan Hari Raya dan Krismas setiap tahun.

“Bon Odori telah disambut lebih 30 tahun di Malaysia. Sepanjang tahun ia telah dikomersialkan dan diraikan melalui pusat komersial atau komuniti untuk memenuhi keperluan bukan Jepun juga.

“Di Malaysia kita mempunyai ramai peminat manga dan anime juga melalui pengaruh Jepun.

“Tidak pernah ada pengaruh atau ritual agama bukan Islam yang boleh mempengaruhi umat Islam daripada menyeleweng dari akidah Islam mereka,” katanya.

Menurut Muhammad Shakir, dari pemahamannya tarikan utama perayaan itu ialah unsur muzik seperti tarian dan gendang.

Beliau menegaskan, umat Islam harus diberi peluang untuk menilai diri tentang pelbagai perayaan budaya di Malaysia yang sangat pelbagai.

“Kita tidak boleh membenarkan pendapat daripada pemimpin Pas menafikan kita rakyat Malaysia daripada menerima kepelbagaian budaya,” kata beliau.

Semalam Idris berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

“Kita nasihatkan kepada semua orang Islam supaya tidak sertai program ini. Ada banyak lagi program lain yang boleh disertai,” katanya hari ini.

“Kita kena sayang agama kita. Oleh yang demikian, Jakim sebagai pihak penyelaras menasihatkan umat Islam supaya tidak sertai program seperti ini,” kata Idris.

Sementara itu Muhammad Shakir berkata, sejak Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan 40 tahun lalu hubungan negara dengan Jepun sentiasa positif dan telah memberi faedah ekonomi yang luar biasa serta pengetahuan untuk rakyat Malaysia.

Malah bandar industri Shah Alam turut mendapat limpahan kemakmuran daripada pelaburan Jepun seperti Panasonic, Sharp, JTI, dan Shin-Etsu Chemical.

Kerjasama Malaysia dengan Mitsubishi dan Daihatsu juga telah memulakan industri automotif negara dari tahun 80-an.

“Hubungan diplomatik yang kukuh bukan sahaja akan mewujudkan perkongsian pengetahuan dalam teknologi tetapi juga akan menggalakkan pertukaran budaya untuk kedua-dua negara.

“Ini sesuatu yang parti seperti Pas tidak faham. Mereka hanya mengambil berat tentang menilai orang lain dan tidak akan melihat gambaran yang lebih besar mengenai pembinaan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenyataan bangang…ko kalau bodoh agama..jgn nak bercakap pasal agama..cakap pasla budaya pun ko bangang..bila masa plak Bon Odori tu budaya Malaysia? Tu budaya Jepun lah bengong

Comments are closed.