Home Politik Hilangnya pengaruh Warisan kerana dosa lampau Shafie Apdal – Zulkarnain

Hilangnya pengaruh Warisan kerana dosa lampau Shafie Apdal – Zulkarnain

Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Penaja Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Hilangnya pengaruh Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri di bawah bayu itu ketika ini adalah disebabkan dosa lampau Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sebagai seorang penganut agama Islam, mereka seharusnya percaya dan menyedari doa yang dizalimi itu sangat makbul.

“Ini juga dilihat sebagai proses hukum karma ke atas perbuatan Shafie Apdal sendiri.

“Harus diingat pada Mei 2018, Shafie adalah pelopor kepada wakil rakyat melompat parti dan kerajaan pintu belakang.

“Shafie telah berkomplot dengan pihak Istana untuk mempengaruhi secara salah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk melompat ke Warisan sehingga Kerajaan BN tumbang pada waktu itu.

“Sebaliknya pada 2020, apabila wakil rakyat Warisan melompat menyokong Tan Sri Musa Aman menjadi Ketua Menteri, Shafie serta-merta membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau mengulas kesediaan Warisan untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Menurut Mohd Shafie, ini kerana Sabah memerlukan satu gabungan parti tempatan yang kuat di peringkat akar umbi.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, tindakan Mohd Shafie yang menawarkan kerjasama kepada PBS itu juga dilihat sebagai petanda betapa terdesaknya presiden Warisan ketika ini.

“Ketika ini rakyat Sabah sendiri menjadi saksi Warisan hampir lumpuh sepenuhnya selepas sebilangan besar wakil rakyatnya termasuk ketua-ketua bahagiannya keluar parti.

“Tindakan ini menyebabkan Warisan terpaksa menunda persidangan agung tahunan parti,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya Mohd Shafie ingin melihat Warisan kembali pulih, beliau hanya perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Musa.

“Saya mengenali Tan Sri Musa Aman sebagai seorang pemimpin yang sangat berjiwa besar dan berkeyakinan akan memaafkan Shafie,” katanya. – MalaysiaGazette