Home Nasional Lori rempuh 7 kenderaan alami masalah brek, tayar pecah

Lori rempuh 7 kenderaan alami masalah brek, tayar pecah

Sebuah lori yang membawa muatan barang runcit rempuh tujuh kenderaan di Kilometer 81.5 Jalan Ipoh-Butterworth hari ini.

TAIPING – Tujuh kenderaan termasuk sebuah motosikal rosak akibat dirempuh sebuah lori yang membawa muatan barangan runcit di Kilometer 81.5 Jalan Ipoh-Butterworth, dekat sini, hari ini.

Kemalangan jam 7.30 pagi itu turut menyebabkan empat individu mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 41 tahun dari arah Kamunting menghala Kuala Kangsar itu hilang kawalan susulan tayar belakang sebelah kiri pecah.

Jelas beliau, dalam masa sama, lori terbabit dikatakan mengalami masalah brek menyebabkan dia merempuh tujuh kenderaan di hadapan.

“Akibat pelanggaran itu, kesemua tujuh kenderaan termasuk motosikal mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu lori itu negatif dadah.

“Tiada tangkapan dilakukan dan kenderaan terlibat ditahan bagi pemeriksaan pihak Puspakom dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau. – MalaysiaGazette