Home Nasional Reinkarnasi: Pihak berkuasa agama diminta bertindak terhadap pendakwah

Reinkarnasi: Pihak berkuasa agama diminta bertindak terhadap pendakwah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa agama negeri diminta mengambil tindakan terhadap pendakwah bebas yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan umum berkaitan reinkarnasi atau roh yang boleh berpindah jasad selepas mati, baru -baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihak berkuasa agama negeri perlu menyiasat segera perkara itu bagi menjernihkan dakwaan yang boleh mengelirukan umat Islam.

Tambahnya, hal seumpama ini berada di bawah bidang kuasa negeri manakala pihak persekutuan berperanan menyelaras hal ehwal berkaitan agama.

“Kalau perkara ini berlaku di mana-mana negeri, kita akan maklum pada pihak berkuasa agama negeri supaya tindakan itu disiasat segera agar perkara yang mengelirukan masyarakat ini dapat dijernihkan semula.

“Bagi inidvidu yang mengeluarkan kenyataan itu pula sepatutnya ditemui oleh pihak berkuasa agama untuk bermuzakarah dan sebagainya bagi membuat penjelasan serta penerangan kepada dia,” katanya pada pemberita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bersama Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumupur (WTC KL), hari ini.

Idris berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.

Beliau mengulas mengenai video ceramah yang tular melibatkan seorang pendakwah bebas yang dimaklumkan oleh gurunya mengenai roh tertentu ciptaan Allah boleh berpindah pada jasad lain selepas meninggal dunia.

Video berkenaan telah mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna di media sosial, sebelum Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, tampil menggesa pihak berkuasa agama bertindak segera bagi mencegah kepercayaan kepada reinkarnasi.

Sementara itu, Idris yang juga Naib Presiden Pas menggesa semua pendakwah di negara ini berhati-hati ketika berceramah dan tidak menyebarkan ajaran yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umum.

“Tak perlulah nak mengelirukan kerana Islam ini jelas. Dalam Islam, kita perlu beri penerangan secara jelas, bukan dalam bentuk yang menimbulkan kekeliruan atau kecelaruan,” ujarnya.

Mengulas mengenai amalan pihak tertentu mandi di Gunung Jerai yang timbul semula baru-baru ini, Idris menggesa pihak berkuasa agama negeri meneruskan usaha pendakwah terdahulu menghapuskan beberapa amalan khurafat.

“Kita minta pihak berkuasa negeri untuk siasat, kerana kadang-kadang mungkin pihak itu mandi atau berwuduk saja (tanpa amalan khurafat), kita pun tak tahu.

“Pada masa sama, kita tak nak benda (khurafat) yang dah lama (berterusan). Lihat kejayaan ulamak yang dah berjaya hapuskan mandi safar, semah laut, hasil penerangan ulamak dan pendakwah. Takkan nak hidup balik benda macam ini,” jelasnya.

Baru -baru ini tular di laman media sosial tentang tindakan beberapa individu didakwa melakukan amalan khurafat di Gunung Jerai, Yan, Kedah sehingga mengundang kritikan ramai.

Pada September tahun lalu, beliau juga pernah menggesa semua pihak untuk menghentikan amalan khurafat serta aktiviti pemujaan di beberapa kawasan di Gunung Jerai.

Ini kerana amalan tersebut bertentangan dengan Islam hingga boleh merosakkan akidah dan berkemungkinan menjadi punca berlakunya kejadian bencana atau bala di sesuatu lokasi.

Terdahulu, Idris bersama Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan, melancarkan lima buku keluaran badan dakwah itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), termasuk sebuah komik yang julung kali diterbitkan oleh yayasan tersebut.

Komik bertajuk Sahabat Misi Q3 yang diterbitkan dengan kerjasama Komik-M PTS Media Group, komik berunsur Islam bermatlamat menerapkan nilai murni berlandaskan ajaran Islam kepada pembaca berusia tujuh hingga 12 tahun. – MalaysiaGazette