Home Nasional SELPHAC kukuhkan kesihatan awam di Selangor – Amirudin

SELPHAC kukuhkan kesihatan awam di Selangor – Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor akan mengukuhkan kesihatan awam di negeri itu menerusi penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penubuhan badan itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 April lalu.

“SELPHAC boleh membantu Kerajaan Negeri Selangor merancang, melaksana, memantau program dan projek serta membincang dan mencadangkan penyelesaian isu-isu semasa berkaitan kesihatan awam.

“Badan itu berperanan untuk meningkatkan kesedaran dan tahap literasi berkaitan kesihatan awam dalam kalangan rakyat Selangor melalui cadangan polisi dan program.

“SELPHAC juga akan meningkat dan memperluaskan fungsi ketua-ketua komuniti di bawah Kerajaan Negeri Selangor bagi membawa agenda komuniti sihat di Selangor,” katanya ketika melancarkan SELPHAC di Dewan Jubli Perak Bangunan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri yang juga Pengerusi SELPHAC, Dr. Siti Mariah Mahmud.

SELPHAC dianggotai 15 ahli terdiri anggota kerajaan negeri, agensi pelaksana utama, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan pakar perubatan pelbagai bidang.

Organisasi itu turut diwakili bekas ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC), wakil kesihatan sektor industri, persatuan perubatan dan pakar kesihatan awam tempatan.

Tambahnya, penubuhan SELPHAC selaras hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) yang menekankan pembentukan Jawatankuasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di peringkat negeri.

“Kerajaan negeri sememangnya mahu memperkasakan struktur dan fungsi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor.

“Ia bagi memastikan segala polisi dan program dirancang dapat dilaksanakan dan dipantau dengan berkesan serta mapan,” katanya.

Katanya lagi, SELPHAC diyakini memberi tambah nilai kepada kerajaan negeri terutama dalam melengkapi KKM bagi mengurus dan mengukuhkan kesihatan awam.

“Inisiatif itu bertepatan usaha mengukuhkan agenda kesejahteraan rakyat secara keseluruhan terutama ketika negara memasuki fasa endemik,” katanya. – MalaysiaGazette