KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mencerminkan diri dan bertanya diri sendiri kenapa tidak dapat menjadi Perdana Menteri selama ini.
“Saya berasa sedih kerana beliau ingat boleh menjadi PM pada 1996/1997 dan saya berasa pemecatan beliau pada 1998 adalah kerana Dr. Mahathir Mohamad dan orang lain merasakan ancamannya. Oleh itu mereka menggunakan mahkamah untuk menghalangnya menjadi PM.
“Beliau sudah terlepas peluang menjadi PM beberapa kali termasuk sebagai PM ketujuh dan kelapan.
“Saya tidak dapat menjawab kenapa beliau boleh terlepas peluang, tetapi saya berasa beliau perlu mencerminkan diri dan bertanya kenapa asyik terlepas peluang.
“Ya, ini adalah mengenai soal nombor. Tetapi, kenapa tidak mempunyai nombor yang mencukupi untuk menjadi PM?”
Sementara itu, Tommy berkata, kejayaan Barisan Nasional (BN) di Sabah, Melaka dan Johor adalah didorong beberapa sebab, termasuk pembangkang yang lemah.
Ditanya sama ada Pakatan Harapan (PH) harus menggunakan isu kleptokrasi dalam pilihan raya, Tommy berpendpat, isu rasuah harus terus dibangkitkan tetapi bukannya memfokus kepada kleptokrasi berkaitan dengan 1MDB. – MalaysiaGazette