Home Nasional Himpunan Veteran ATM: Dua lagi individu dirakam keterangan hari ini

Himpunan Veteran ATM: Dua lagi individu dirakam keterangan hari ini

IMBAS SEMULA. Pengerusi Perhimpunan Aman Veteran ATM, Datuk Abdul Rahman Husain bercakap kepada media selepas program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM di Tugu Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan daripada dua lagi individu dalam perkembangan terbaharu siasatan kes berhubung Perhimpunan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan di Tugu Negara pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Hahaya berkata, dua individu yang dikenalpasti sebagai peserta himpunan yang tidak memohon kebenaran permit dari pihak berkuasa telah menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Dang Wangi pagi tadi untuk membantu siasatan.

Ia sekali menjadikan setakat ini keseluruhannya seramai lapan individu sudah disiasat dan dirakam keterangan dalam kes tersebut.

“Pagi ini dua lagi individu dipanggil untuk hadir ke balai bagi tujuan merakam keterangan mereka membantu siasatan polis.

“Jadi pada keseluruhannya seramai lapan individu sudah dipanggil dan dirakam keterangan setakat ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Noor Dellhan mengesahkan enam individu termasuk penganjur Himpunan Veteran selesai dirakam keterangan mereka.

Katanya keenam-enam individu itu tampil ke IPD Dang Wangi pada waktu malam Isnin.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam perhimpunan Isnin itu pihak penganjur telah mengemukakan beberapa tuntutan antaranya mendesak kerajaan agar memberi perhatian serius dalam soal kebajikan veteran ATM yang didakwa gagal dipelihara selama ini.

Katanya beberapa individu yang dikenalpasti sebagai penganjur perhimpunan akan dianggil untuk membantu siasatan polis.-MalaysiaGazette