PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) akan memulakan sesi Jelajah Belanjawan 2023 untuk mendengar pendapat dan cadangan daripada semua pihak yang berkepentingan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata portal rasmi Belanjawan 2023 juga telah dibuka sejak 3 Jun lepas yang bertujuan mengajak organisasi swasta menyumbang idea mengenai isu-isu serta cadangan untuk dipertimbangkan dalam belanjawan itu.
Menurutnya, MOF seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Pra-Bajet 2023 mahu memberi fokus kepada pemulihan ekonomi negara dan juga memastikan pertumbuhan ekonomi adalah mapan untuk tahun hadapan.
Mengenai pendedahan bahawa lebih 50 peratus daripada subsidi bahan api dimanfaatkan golongan T20, Tengku Zafrul berkata kerajaan perlu lebih bersasar dalam pemberian subsidi untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, kajian pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia telah mendedahkan setiap RM1 petrol diisi 53 sen. pergi kepada golongan T20.
“Kita kena lebih bersasar untuk jangka masa panjang. Apa yang penting kita bersetuju dengan pendekatan ini jika rakyat setuju.
“Tindakan yang betul ialah cara terbaik untuk pelaksanaan supaya tiada yang tercicir. Prinsip saya bahawa kita mesti lebih bersasar dan harap rakyat bersetuju bahawa kita perlu menolong rakyat yang betul-betul memerlukan,” katanya.
— BERNAMA