KUALA LUMPUR – Pelakon, Norman Hakim mempertahankan kredibiliti Datuk Dr Azizan Osman sebagai seorang jurulatih bisnes yang terbukti telah melahirkan ramai usahawan berjaya.
Kenyataan itu dibuat kerana dia sebelum ini pernah mendapatkan latihan dan bimbingan dalam program yang dianjurkan RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) sejak 2016 lagi.
“Saya mengikuti program RichWorks iaitu Intensif Magnet Kejayaan & Kekayaan (IMKK) yang mana mengajar banyak tentang aspek asas kehidupan malah soal kerohanian diri ini.
“Kemudian saya menyertai Millionaire Marketing Mastery (MMM) yang mengajar tentang soal pemasaran dan penjenamaan sesebuah bisnes itu untuk berkembang,” katanya mengulas segelintir orang yang mempersoalkan Azizan dikaitkan dengan scammer dan hanya jual air liur.
Terdahulu Norman dalam akaun Instagram @normanhakim_786 menghantar komen dalam hantaran @azizanosman_official yang mana Azizan telah mengajarnya hingga berjaya mencapai jualan sampai jutaan ringgit.
Norman menambah, sebelum ini beliau menjalankan kolaborasi dengan pihak lain namun ketika awal 2020, beliau dan isteri mengasaskan bisnes mereka dengan berbekalkan ilmu Azizan yang ada sebelum ini.
“Saya suka kongsikan analogi fitness yang menjadi passion saya dengan bisnes di mana saya mencari guru yang terbaik untuk mendapatkan ‘rahsia’ dapatkan badan yang diimpikan.
“Daripada ambil masa tiga ke enam bulan untuk alami perubahan dengan bimbingan guru, saya ketahui cara lebih pantas capai contohnya eight packs dalam lapan minggu saja walau apa yang orang makan,” jelasnya lagi.
Begitulah seperti dalam bisnes, Norman memberitahu, usahawan yang komited pastinya mahukan guru yang terbaik untuk mendapatkan hasil yang disasarkan termasuk membina bisnes berjaya.
“Kesimpulan yang saya boleh katakan, bila anda berguru barulah akan dapat hasil lebih cepat. Datuk Wira Dr Azizan Osman memang ada proven results,” katanya.
Semalam, salah seorang anak murid Azizan, Asyraf Khalid juga memperjelaskan tentang mentornya yang mana telah berjaya ubah bukan sahaja kehidupan malah transformasi bisnes Mutyara Beauty yang dijalankan bersama isterinya, Tya Arifin. – MalaysiaGazette