Home Nasional Pemandu teksi Perak mahu pihak berkuasa siasat pengendali e-hailing

Pemandu teksi Perak mahu pihak berkuasa siasat pengendali e-hailing

Jayaprakash (tiga dari kiri) bersama pemandu teksi di Perak.

IPOH – Pihak berkuasa diminta berlaku adil terhadap 2,362 pemandu teksi berdaftar di negeri ini yang tertakluk kepada banyak peraturan untuk beroperasi berbanding pengendali e-hailing.

Rata-rata mereka mendakwa, dalam keadaan bergelut untuk mendapatkan penumpang selain kos kenaikan harga barang, para pemandu teksi tetap beroperasi mengikut sepertimana ditetapkan pihak berkuasa.

Pengerusi Persatuan Pemandu-pemandu Kereta Sewa Negeri Perak (PPPKSNP), B. Jayaprakash berkata, situasi itu berbeza dengan pemandu e-hailing yang tidak tertakluk pada banyak peraturan.

Katanya, isu kenaikan tambang e-hailing menunjukkan bagaimana pihak berkuasa teragak-agak untuk mengambil tindakan tetapi keadaan sebaliknya jika berlaku pada pemandu teksi.

Jayaprakash.

“Bagi teksi, tambang adalah kadar yang telah ditetapkan dan kita sebagai pemandu tertakluk pada peraturan tidak boleh menetapkan tambang sesuka hati.

“Sebaliknya pada e-hailing, tambang ditetapkan menerusi aplikasi dan ini membolehkan pengendalinya menentukan kadar menjadi tinggi tetapi tidak dilihat sebagai kesalahan,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Selain itu, Jayaprakash turut mempertikaikan tambang yang dikenakan terhadap seorang penumpang sebanyak RM76.50 bagi perjalanan dari Ipoh ke Chemor baru-baru ini.

Katanya, kadar tambang bagi itu keterlaluan kerana caj tambang teksi bagi perjalanan itu hanyalah RM30 sahaja.

“Tambang sekali ganda ini tidak masuk akal selain menekan pengguna sebaliknya kami pemandu teksi tidak boleh bertindak sedemikian dan akan hilang mata pencarian jika berbuat begitu.

“Justeru, pihak berkuasa perlu menyiasat bagaimana aplikasi e-hailing ini berfungsi agar tidak menekan dan mengelirukan pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jayaprakash memuji ketegasan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam menangani isu pelanggaran  surcaj tambang kepada penumpang melibatkan syarikat pengendali e-hailing.

Katanya, ketegasan Ka Siong menunjukkan beliau sangat mengambil maklum tentang situasi yang berlaku dan pada masa sama memantau perjalanan industri pengangkutan awam.

Ka Siong dalam kenyataan sebelum ini mahu Agensi Pengangkutan Awam Darat melakukan siasatan mengenai perkara itu dan jika wujud pelanggaran, lesen mereka akan digantung. – MalaysiaGazette