SHAH ALAM – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengeluarkan 220 kompaun dan tujuh arahan pematuhan dalam Ops Kesan hari ini.
Operasi yang bermula pukul 10 pagi itu bertujuan mengesan majikan yang gagal mendaftar dan membuat caruman ke atas pekerja termasuk dalam kalangan warga asing.
Ia sekaligus memastikan setiap pekerja yang layak akan mendapat perlindungan keselamatan sosial sewajarnya.
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz berkata, Ops Kesan kali ke-13 dibuat selepas tempoh pemutihan berakhir pada 31 Mei lalu.
“Sepanjang sebulan tempoh tersebut, sebanyak 8,843 majikan baharu telah tampil mendaftar. Ia merekodkan peningkatan memberangsangkan iaitu lebih 15 peratus berbanding dengan jumlah majikan baharu yang mendaftar pada bulan April lalu iaitu sebanyak 7,709 majikan.
“Semua majikan walaupun mempunyai seorang pekerja dan bekerja kontrak wajib membuat caruman demi kebajikan pekerja mereka.
“Kegagalan majikan mendaftarkan pekerja mereka di bawah Akta 4 dan Akta 800 boleh menyebabkan majikan dipenjara sehingga dua tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Kesan di sini hari ini.
Mohammmed Azman memberitahu, antara alasan yang diberikan majikan yang dikenakan kompaun adalah mereka tidak tahu arahan wajib mencarum ke atas pekerja.
Selain itu, jelas beliau, majikan mendakwa pekerja mereka baru bekerja dalam tempoh yang singkat dan tidak sempat mendaftar dan mencarum di PERKESO.
“Selepas ini, Ops Kesan akan digerak ke seluruh negara dan majikan perlu mengambil tindakan segera untuk mendaftarkan perusahaan dan mencarumkan pekerja bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial.
“Ia meliputi majikan yang menjual goreng pisang atan nasi lemak di tepi jalan sekiranya mereka mempunyai seorang pekerja dan perlu membuat caruman,” katanya.
Sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 527,659 majikan aktif telah berdaftar di bawah Akta 4 yang meliputi seramai 8.74 juta pekerja, termasuk 1.99 juta pekerja asing.
Pada 1 Jun lalu, liputan Akta 4 dan Akta 800 telah diperluas kepada pekerja domestik tempatan dan Akta 4 untuk pekerja domestik asing.
Sehingga 5 Jun lalu, sejumlah 9,557 majikan yang menggajikan pekerja domestik telah berdaftar dengan PERKESO dan mewakili seramai 10,298 orang pekerja domestik tempatan dan asing.
Sebelum ini, tempoh kelonggaran (cooling off) untuk mendaftar turut diberi kepada majikan dan pekerja domestik dan telah berakhir pada 31 Mei lalu.
Semenjak tahun 2019 hingga 31 Disember lalu, sejumlah 5,896 notis kompaun dengan nilai RM1.96 juta telah dikeluarkan atas kesalahan gagal mendaftar perusahaan dan pekerja.
Selain itu, sebanyak 6,579 kes telah diambil tindakan pendakwaan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh sama. – MalaysiaGazette