Home Utama Sultan Selangor bertitah jangan sekat Festival Bon Odori – JAIS

Sultan Selangor bertitah jangan sekat Festival Bon Odori – JAIS

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar tidak mengambil pendirian menyekat program Festival Bon Odori dari terus dijalankan.

Jabatan itu juga dititah untuk tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program tersebut.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor bertitah sedemikian ketika beliau menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan hari ini bagi membincangkan Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic) pada 16 Julai depan.

“Baginda tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan mengenai perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.

“Sultan Sharafuddin berpendirian banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya malah baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan memaklumkan baginda menitahkan semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama berikutan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Negeri Selangor.

Justeru katanya, Sultan Selangor menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis itu untuk bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program terbabit.

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis itu beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam melainkan ia satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori kerana ia mengandungi unsur agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dilapor berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan lain. – MalaysiaGazette