Home Nasional 1MDB pindahkan RM3.487b kepada Deustche Bank melalui 5 transaksi – Saksi

1MDB pindahkan RM3.487b kepada Deustche Bank melalui 5 transaksi – Saksi

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri perbicaraan kes pindaan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan kes perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) hari ini mendedahkan sejumlah RM3.487 bilion dipindahkan dari syarikat pelaburan itu kepada Deustche Bank Malaysia (DBMB) melalui lima transaksi.

Transaksi itu menggunakan Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) melalui akaun Bank RHB pada 30 September 2009.

Menurut Naib Presiden Pasaran DBMB, Nur Hasnee Taha Mohd Nordin, dana tersebut dipindahkan untuk tukaran mata wang asing dengan membeli AS$1 bilion (RM3,487 bilion).

Kemudian sejumlah AS$700 juta dipindahkan ke RBS serta AS$300 juta didepositkan ke dalam akaun JP Morgan SA Geneva seperti yang diarahkan oleh 1MDB.

Kata Nur Hasnee, pada 27 Mei 2011, sebanyak RM335.115 juta dipindahkan daripada akaun AmBank milik Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) atau nama baharunya, 1MDB bagi membeli mata wang AS sebanyak AS$110 juta atau mengikut ringgit ia bernilai RM335.115 juta.

“Wang itu kemudian dipindahkan ke akaun JP Morgan Chase Bank di New York dan juga ke akaun RBS Coutts Bank Ltd untuk dikreditkan ke nombor akaun 11116073 seperti yang diarahkan oleh TIA ketika itu kepada Deutsche Bank,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Selain itu juga, seorang lagi saksi dari DBMB mendedahkan, pihaknya tidak pernah berdepan halangan dalam melakukan pindahan sebanyak AS$110 juta daripada 1MDB kepada PetroSaudi International Ltd (PSI).

Saksi yang merupakan bekas pegawai operasi kanan DBMB, Fatehah Md Salleh mendakwa, pihaknya telah menerima arahan pertukaran wang asing itu pada 27 Mei 2011.

“Wang itu dipindahkan daripada akaun 1MDB di DBMB. Kami ada lakukan pemeriksaan latar belakang melalui PCR (Laporan Jenayah Pencegahan) dan sistem HotScan pada PetroSaudi International Ltd dan RBS Coutts Bank Ltd Zurich.

“Laporan PCR dan HotScan mengenai syarikat itu mendapati tiada halangan untuk menjalankan transaksi pemindahan wang berkenaan. Hanya selepas mendapat kelulusan,pembayaran dibuat,” katanya ketika membacakan keterangan tersebut.

Prosiding akan bersambung pada Isnin pagi minggu depan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.- MalaysiaGazette