KAJANG – Pencapaian Jabatan Penjara Malaysia yang berjaya melahirkan banduan berkemahiran adalah sesuatu yang harus dibanggakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jabatan di bawah kementeriannya itu telah membuktikannya dengan dua pengiktirafan peringkat antarabangsa iaitu pada 5th International Craft Awards 2021: Lifetime Achievement For Contribution To The Sustainable Development Of Craft Sector And Social Inclusion dan penyertaan di London Craft Weeks pada Mei lalu yang mempamerkan hasil tenunan penghuni penjara.
“Kita nampak daripada segi peningkatan perkara dilakukan Jabatan Penjara sudah mencapai satu tahap boleh dibanggakan kerana ramai penghuni penjara sudah mula diberikan kemahiran baharu yang boleh digunakan selepas mereka (banduan) keluar dari penjara.
“Ini sesuatu yang baik sekali dan saya difahamkan dengan ada program seperti ini jumlah mereka yang kembali ke penjara juga sudah menurun,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Jabatan Penjara Malaysia, di ibu pejabat Penjara Malaysia hari ini.
Jelas Hamzah, sebagai contoh, ramai masyarakat luar negara yang berada di London Craft Weeks yang diadakan Mei lalu terpegun dengan hasil kraftangan produk Jabatan Penjara.
“Produk yang dikeluarkan itu amat berkualiti tinggi dan boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
London Craft Week yang berlangsung 15 Mei lalu di Bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pameran itu antara lain memperagakan tenunan dari penjara, yang menampilkan tenunan tradisional lengkap dengan penenun bertugas, fabrik arkib dari Muzium Pahang dan pilihan pakaian Tunku Azizah sendiri selain koleksi Tenun peribadi. – MalaysiaGazette