Home Nasional Kerajaan P.Pinang ambil kira pendapat penduduk berhubung CLQ di Bertam

Kerajaan P.Pinang ambil kira pendapat penduduk berhubung CLQ di Bertam

Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berucap semasa sesi Town Hall Pembangunan Kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi yang turut membabitkan projek CLQ semalam.

KEPALA BATAS – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengambil kira semua pandangan dan pendapat daripada penduduk berhubung cadangan pembinaan pembangunan kuarters pekerja berpusat (CLQ) di Bertam di sini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata perkara itu merupakan antara pendekatan kerajaan negeri dalam menyampaikan maklumat atau membangunkan sesuatu projek di negeri ini.

“Saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal iaitu kawasan perancangan projek CLQ itu mengadakan sesi town hall atau libat urus dengan wakil-wakil penduduk di kawasan terlibat bagi mendengar pandangan, bantahan serta hasrat mereka (berhubung projek CLQ).

“Seterusnya semua pandangan, bantahan dan hasrat yang disampaikan pada sesi malam ini dikumpulkan untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri supaya ia dapat dinilai dan diteliti..kami (kerajaan negeri) sentiasa bersedia untuk menilai dan mendengarnya.

“Malah kerajaan negeri turut menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau dan menyelaras pelaksanaan projek itu kerana antara lain mahu mendapatkan cadangan awal daripada semua pihak berhubung projek berskala besar tersebut,” katanya semasa sesi Town Hall Pembangunan Kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi semalam, yang turut membabitkan projek CLQ.

Sesi town hall yang berlangsung selama tiga jam bermula 8.30 malam itu sedikit ‘tegang’ kerana ketidakpuasaan penduduk dengan projek CLQ tersebut yang turut melibatkan konsultan projek, pemaju dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Zakiyuddin berkata kawasan Perindustrian Berteraskan Teknologi Tinggi di tapak seluas 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Bertam di Parlimen Kepala Batas itu antara lain adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan tersebut dan lokasi berhampiran.

“Saya ingin nyatakan sebarang keputusan dan tindakan saya dalam tangani isu ini tidak sekali-kali berdasarkan politik sahaja tetapi kepada kepentingan rakyat, negeri dan penduduk di sini serta pembangunan Bertam keseluruhannya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas mahu MBSP dan pihak pemaju membuat sesi libat urus dengan penduduk untuk mendapatkan jalan penyelesaian bagi cadangan pembinaan pembangunan CLQ kerana rata-rata penduduk menjadi resah apabila berdepan dengan prospek kebanjiran pekerja warga asing di kawasan tersebut.

Penduduk di 10 taman perumahan berhampiran projek tersebut sebelum ini mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan pembangunan CLQ di situ yang akan menempatkan ribuan pekerja asing dan mencadangkan pembinaan itu dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor, tidak jauh dari situ.

Difahamkan, projek pembangunan itu yang dalam proses mendapatkan kebenaran merancang mempunyai dua pakej, dengan pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat manakala pakej kedua melibatkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit.- BERNAMA