Home Pendapat Cegah ubahsuai haram kekalkan kejiranan perumahan lestari

Cegah ubahsuai haram kekalkan kejiranan perumahan lestari

SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak berita tular mengenai ubahsuai haram yang berlaku di kawasan perumahan.

Perlu difahami, kerja-kerja ubahsuai bangunan yang dilaksanakan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh diklasifikasikan sebagai “bangunan haram”.

Keperluan mendesak kepada ruang tambahan dan saiz keluarga yang semakin bertambah menjadikan ubahsuai rumah merupakan pilihan utama selain membeli rumah baharu.

Rumah merupakan salah satu keperluan asas manusia yang berfungsi untuk melindungi dan bertindak sebagai keselamatan seperti yang dikenal pasti oleh Maslow dan Max-Neef dalam teori keperluan manusia.

Perumahan baik adalah yang memiliki ciri-ciri kelestarian yang mampu memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan pemiliknya.

Seiring dengan peredaran waktu, keperluan ini juga kemudian berubah dengan wujudnya keinginan untuk menonjolkan rupa dan fasad baharu mengikut cita rasa seni bina klasik mahupun moden.

Tidak dinafikan, situasi ini telah mengakibatkan ramai dikalangan
pemilik rumah memilih untuk melaksanakan kerja-kerja ubahsuai rumah sedia ada.

Usaha ini juga merupakan langkah proaktif dalam meningkatkan nilai pelaburan hartanah mereka pada masa hadapan.

Secara umumnya, terdapat tiga kategori utama kerja ubahsuai bangunan.

Kategori pertama, kerja ubahsuai kecil yang dilaksanakan tanpa memerlukan kebenaran bertulis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ubahsuai kategori ini dilakukan ke atas bangunan yang telah
disiapkan tanpa melibatkan perubahan terhadap struktur, ruang, tampak rupa luaran dan fungsinya.

Kategori kedua, kerja-kerja ubahsuai yang memerlukan kebenaran bertulis daripada PBT.

Contoh ubahsuai kategori ini adalah kerja-kerja pembinaan luaran dan dalaman seperti ubahsuai pagar dan tembok sedia ada serta sebarang perubahan kemasan melibatkan perubahan fasad.

Kategori ketiga, kerja-kerja ubahsuai major yang perlu dikemukakan melalui Principal Submitting Person (PSP) untuk mendapatkan kebenaran bertulis daripada PBT.

Sebagai contoh, kerja-kerja ubahsuai kategori ini melibatkan pertambahan tingkat bagi bangunan sediada, meroboh dan membina semula sebahagian bangunan asal, struktur tambahan atau perubahan kepada sesuatu bangunan yang menjejaskan atau mungkin menjejaskan susunan parit dan sistem kumbahan.

Kerja ubahsuai yang tidak mendapat kebenaran bertulis daripada PBT terdekat boleh disebut sebagai ubahsuai haram.

Jelas, ubahsuai secara haram ini akan menjurus kepada pembinaan struktur haram yang tidak melalui proses semakan cadangan ubahsuai secara terperinci oleh pakar penilai teknikal.

Sudah pasti, ubahsuai dan struktur binaan haram ini boleh mengundang pelbagai masalah seperti kacau ganggu dan peningkatan risiko kepada persekitaran kejiranan di masa hadapan.

Justeru, ubahsuai rumah sedia ada seharusnya tidak menjejaskan kelestarian kejiranan perumahan yang melibatkan keharmonian, keselamatan dan kesihatan warganya.

Pengubahsuaian rumah mestilah membuka peluang kepada peningkatkan prestasi sosial, ekonomi dan alam sekitar terhadap hartanah dan komuniti seperti yang dipromosikan dalam konsep pembangunan lestari.

Berteraskan kepada pembangunan lestari ini, PBT perlu bertindak lebih tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran yang berkait dengan ubahsuai haram ini.

Berdasarkan kepada peruntukkan perundangan sedia ada di dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), setiap pemilik bangunan yang berhasrat untuk melaksanakan kerja-kerja ubahsuai bagi kategori kedua dan ketiga di atas mestilah mendapatkan kebenaran bertulis daripada PBT.

Berdasarkan kepada Seksyen 70 (11) kerja ubahsuai tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT, jika disabitkan bersalah pemilik boleh didenda tidak melebihi RM25,000 dan arahan mengubah atau meroboh secara mandatori melalui Mahkamah Majistret atas permohonan PBT.

Manakala Seksyen 70 (12) bagi kesalahan menggunakan bangunan yang telah dibina terlebih dahulu tanpa kebenaran bertulis daripada PBT juga boleh didenda tidak melebihi RM25,000 dan tambahan denda tidak melebihi RM500 bagi tiap-tiap hari kesalahan selepas notis memberhentikan penggunaan bangunan telah diberikan.

Seksyen 70 (13) pula memperuntukkan hukuman yang lebih berat menanti pemilik rumah sekiranya gagal mematuhi perintah atau arahan bertulis yang telah dikeluarkan.

Sekiranya bersalah, denda tidak melebihi RM50,000 atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda tambahan sebanyak RM1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Selanjutnya, Seksyen 70 (14) pula memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan tanpa langkah pembicaraan terhadap kesalahan Seksyen 70 (13), iaitu pemilik perlu membayar kepada PBT jumlah wang tidak kurang daripada lima kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda bayaran yang ditetapkan.

Lebih merugikan lagi pemilik rumah akan menghadapi kesukaran untuk mengenakan insuran terhadap bangunan terlibat.

Sudah pasti, ini akan menyukarkan lagi proses jual beli bangunan yang diubahsuai secara haram kerana dokumentasi yang tidak sempurna.

Kemudian, menurut Seksyen 70 (15) pula PBT atau mana-mana wakil yang diberi kuasa boleh membuat permohonan kepada mana-mana Majistret mengeluarkan arahan perintah mandatori mengubah atau meruntuhkan bangunan yang terlibat.

Sebagai kesimpulannya, dapatkanlah khidmat nasihat pakar seperti jurutera, arkitek atau juruukur bangunan bertauliah sebelum merancang kerja-kerja ubahsuai rumah.

PBT juga perlu bertindak proaktif dalam menangani isu kerja ubahsuai haram di kawasan perumahan bagi mengekalkan kejiranan lestari.

PBT perlu lebih giat mengadakan kempen kesedaran dan
hebahan awam tentang kerja ubahsuai yang menepati kehendak perundangan.

Disamping itu, tindakan tegas dengan mengenakan kompaun dan meroboh struktur haram secara mandatori adalah penyelesaian terbaik agar keharmonian, keselamatan dan kesihatan kejiranan
perumahan terpelihara. Kejiranan perumahan lestari adalah manifestasi kepada pembentukan Keluarga Malaysia sejati!

Dr. Irwan Mohammad Ali

Sr. Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumi,
Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak.