KUALA LUMPUR – Presiden Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali bersama wakil NGO mendesak Perdana Menteri India, Narendra Modi memohon maaf secara rasmi kepada umat Islam seluruh dunia.
Permohonan maaf itu, katanya, bagi meredakan kemarahan dan kutukan umat Islam dunia terhadap pelampau dari Parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma kerana menghina Nabi Muhamad SAW.
“Kepimpinan Putra seluruh negara mengutuk kata-kata biadab dan penghinaan terhadap Nabi Muhamad SAW oleh pelampau BJP India ini.
“Saya dan wakil NGO Malaysia mendesak Modi dan kerajaan India memohon maaf secara rasmi kepada seluruh umat Islam dan kepada negara-negara Islam seluruh dunia.
“Permohonan maaf ini penting jika Modi dan kerajaan India mengambil berat keselamatan kaum India seluruh dunia kerana pasti ada pihak yang akan bertindak balas,” katanya dalam ucapan ringkasnya di depan Kedutaan India selepas solat Jumaat di sini hari ini.
Menurut Dr. Ibrahim, Modi wajar menghayati sejarah perang Badar di mana 300 pejuang Islam dapat mengalahkan 1,000 tentera kafir apabila datang pertolongan Allah.
Beliau juga mengingatkan seluruh umat Islam Malaysia tidak memandang serong terhadap kaum India negara ini kerana mereka tidak ada kena mengena dengan kenyataan biadap pemimpin BJP India itu.
“Malaysia negara berbilang kaum, dapat hidup secara harmoni, aman damai dan menghormati antara kaum serta agama. Kerajaan India patut malu pada negara kita dan belajar dengan Malaysia, walaupun ada segelintir individu yang mencari publisiti politik.
“Walaupun ada sekali sekala membuat kenyataan provokasi dan tindak tanduk menyinggung perasaan umat Islam namun kita tetap bersabar dan istiqamah,” katanya. – MalaysiaGazette