KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung insiden air berwarna putih yang dikesan di Sungai Langat pada pukul 3.30 petang hari ini.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, siasatan LUAS telah menemukan aliran air sungai berwarna putih dan bau seakan-akan klorin di kawasan Sungai Langat.
“Hasil siasatan LUAS mendapati punca insiden aliran air berwarna putih disebabkan pelepasan efluen daripada sump milik sebuah premis kilang ke sungai tanpa melalui titik pelepasan akhir efluen premis yang ditetapkan.
“Pengaktifan Kod Kuning selaras dengan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor melibatkan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar.
“LUAS telah menjalankan tiga pensampelan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
LUAS juga telah mengeluarkan arahan kepada premis tersebut supaya menghentikan segera pelepasan efluen yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan kerja pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.
“Arahan itu selaras dengan Seksyen 121 (1) Enakmen LUAS 1999 dan proses pembersihan sedang dilakukan oleh pihak premis.
“LUAS akan membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM 1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun,” katanya.
Katanya lagi, tindakan pantas kawalan di tapak telah berjaya mengelakkan potensi henti tugas loji rawatan air (LRA), manakala langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat.
“Anggaran jarak lokasi punca pencemaran (premis berkenaan) ke tiga muka sauk terdekat adalah, LRA Semenyih 2; 18 kilometer; LRA Bukit Tampoi; 29.5 kilometer dan LRA Labohan Dagang dalam anggaran 40.9 kilometer.
“LUAS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin terhadap sumber air Selangor.
“Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999,” katanya lagi. – MalaysiaGazette