Home Nasional Peguam bantah mansuh hukuman mati jenayah bunuh

Peguam bantah mansuh hukuman mati jenayah bunuh

Aidil Khalid

KUALA LUMPUR – Sorang peguam terkejut dengan pengumuman kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati yang turut melibatkan melibatkan kuasa budi bicara hakim dalam jenayah berat.

Menurut Aidil Khalid, secara prinsip beliau tidak membantah hukuman mati mandatori dihapuskan terhadap jenayah yang tidak melibatkan kehilangan nyawa seperti berkaitan keldai dadah, tanam pohon ganja dan sebagainya.

Namun hukuman mati bagi jenayah berat dan kejam yang melibatkan kehilangan nyawa orang awam seperti culik, bunuh, keganasan dan sebagainya wajar dikekalkan.

“Nyawa orang awam yang tidak berdosa lebih berharga daripada nyawa penjenayah kejam yang tiada berhati perut,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Justeru beliau meminta supaya kerajaan mendedahkan Laporan Kajian Ganti Hukuman Mati Mandatori yang menjadi asas kepada keputusan untuk menghapuskan hukuman mati yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Aidil mendakwa, keputusan tersebut bertentangan dengan kehendak rakyat awam melalui undian secara dalam talian pada tahun 2018 iaitu 82 peratus ingin hukuman mati dikekalkan dan 18 peratus bersetuju menghapuskan hukuman tersebut.

“Seingat saya pada tahun 2020 saya bersama beberapa rakan peguam lain termasuk Lukman Sheriff dan Christina Teng turut terlibat dan menghadiri beberapa sesi rundingan awam yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.

“Dalam sesi tersebut kami dimaklumkan bahawa mandat ahli-ahli Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh mantan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum hanya terhad untuk mengkaji dan memberikan syor berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori sahaja (penekanan pada kata ‘mandatori’ yang membawa maksud tanpa budi bicara) dan bukan hukuman mati budi-bicara,” katanya.

Ketika sesi rundingan tersebut Aidil berkata, pihaknya telah membawa suara ahli keluarga mangsa jenayah kekejaman berat yang telah menghadkan pandangan kepada skop memansuhkan hukuman mati mandatori sahaja tanpa menyentuh hukuman mati budi bicara.

“Sebab itu saya agak terkejut apabila kenyataan media oleh Wan Junaidi hari ini menyatakan bahawa selain dari hukuman mati mandatori ’22 kesalahan yang membawa hukuman mati … dengan budi-bicara Mahkamah’ juga akan dikaji semula untuk digantikan dengan hukuman gantian.

“Keputusan ini jelas melangkaui mandat asal kajian oleh Jawatankuasa Khas tersebut.

“Ini juga sekaligus mengakibatkan sesi-sesi rundingan awam yang dijalankan dalam tempoh kajian sebelum ini menjadi tercemar dan tidak telus kerana wakil-wakil pihak berkepentingan dipanggil hadir untuk menyampaikan pandangan berkaitan isu lain (hukuman mati mandatori) tetapi kemudiannya Jawatankuasa Khas membuat syor-syor menyentuh perkara-perkara lain pula yang di luar skop (termasuk hukuman mati budi bicara).” katanya.

Wan Junaidi hari ini mengumumkan Mesyuarat Jemaah Menteri kelmarin bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah .- MalaysiaaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.