Home Ekonomi Proses permintaan bayaran balik akibat COVID-19 hampir selesai, kata AirAsia Aviation Group

Proses permintaan bayaran balik akibat COVID-19 hampir selesai, kata AirAsia Aviation Group

Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), cabang penerbangan Capital A menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan semua permintaan bayaran balik akibat pandemik, secepat mungkin.

Syarikat penerbangan di bawah AAAGL dalam kenyataan hari ini berkata, mereka telah menyelesaikan hampir 99 peratus daripada pertanyaan tetamu berkenaan bayaran balik dan akan berusaha untuk menyelesaikan baki 0.8 peratus dalam masa terdekat.

Syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX) dan Thai AirAsia X (TAAX) turut mempunyai rancangan kukuh untuk membuat bayaran balik kepada semua tetamu yang terkesan sejak dua tahun lepas berikutan COVID-19, dalam beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan AirAsia telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas.

“Kini, sekatan perjalanan telah mula dilonggarkan secara berperingkat di beberapa pasaran utama kami dan kami melihat ramai tetamu telah memanfaatkan akaun kredit mereka untuk kembali terbang bersama kami.

“AAX berdepan dengan situasi yang lebih sukar berikutan penutupan sempadan antarabangsa, menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya serta terpaksa bergantung dengan aliran tunai yang terhad sepanjang tempoh itu.

“Bagaimanapun, kini mereka telah kembali beroperasi dan telah mula membuat bayaran balik kepada para tetamu yang terkesan menerusi baucar perjalanan bersamaan nilai tempahan yang dibuat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TAAX juga turut terkesan dengan pandemik dan sedang bekerja keras untuk menyelesaikan semua hutang yang tertunggak kepada tetamu melalui bayaran balik dan pemberian kredit.

Sehingga kini, majoriti daripada semua tetamu yang terjejas telah menerima baucar perjalanan mereka, melibatkan lebih 155,000 tetamu.

 AAAGL menyasarkan untuk menyelesaikan baki baucar perjalanan sebanyak 30 peratus lagi dalam beberapa minggu akan datang, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA