KUANTAN – Orang ramai disaran membawa plastik dalam poket masing-masing bagi melatih diri berdisiplin menguruskan sampah sekaligus mencapai obejktif menjayakan kelestarian alam sekitar.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah berkata, Kempen satu poket, satu beg plastik diadakan bertujuan untuk memastikan alam sekitar agar sentiasa bersih dan terhindar dari sampah sarap.
Kempen tersubut diharapkan berjaya menerapkan budaya amalan menjaga kebersihan di kalangan masyarakat pada setiap masa.
“Program ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2019 dengan mengalakkan setiap orang untuk membawa satu beg plastik pada setiap masa.
“Kempen ini dilaksanakan di tempat-tempat tumpuan utama seperti taman rekreasi, kawasan pantai dan sepanjang jalan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 menerusi kenyataan hari ini.
Menerusi kempen yang sama, Shahar mahu pengguna jalan raya untuk menyediakan beg plastik bagi tujuan pembuangan sampah dan mengelak membuangnya dari kenderaan peribadi.
Kempen itu merupakan usahasama berterusan pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan pelbagai dan agensi lain bagi memastikan daerah kuantan bebas sampah, bersih dan ceria.
“Usaha ini sekaligus mengangkat nilai status daerah ini sebagai daerah contoh juga usahasama bersama SWCorp, Alam Flora, Roadcare dan TMG Group.
Terdahulu kempen ini pernah diiadakan sepanjang Ramadan ketika umat Islam diberi peluang untuk berbuka puasa di Padang MBK 1 berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dengan mengamalkan sistem pengurusan sampah yang baik.
Selain itu, pihak MBK telah mengatur beberapa langkah untuk menarik masyarakat dalam menjayakan kempen dengan mengadakan aktiviti plogging di taman perumahan dan aktiviti 3R (reduce, reuse, recycle).
Shahar berkata, langkah berkenaan mewujudkan masyarakat cintakan kebersihan alam sekitar wajar sebagai persiapan awal bagi menghidupkan Bandar Baharu Paya Besar menjelang 2030. – MalaysiaGazette