Home Seni Hidup Justin Bieber lumpuh separuh muka, konsert di KL batal?

Justin Bieber lumpuh separuh muka, konsert di KL batal?

Foto Instagram Justin Bieber.

KUALA LUMPUR – Peminat penyanyi sensasi dunia, Justin Bieber dikejut dengan khabar selebriti terkenal itu apabila dia dilaporkan diserang sindrom Ramsay Hunt.

Berita itu disahkan sendiri oleh Justin menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram baru-baru ini dan meminta orang ramai memahami situasi yang dialaminya.

Difahamkan, sindrom Ramsay Hunt menyerang pada bahagian bibir, mata dan separuh riak wajah yang membuatkan pesakit merasai dirinya lumpuh separuh muka.

“Seperti yang anda lihat, mata ini tidak berkelip. Saya tidak boleh tersenyum di sisi muka saya ini, jadi terdapat kelumpuhan penuh di bahagian muka saya ini,” katanya dalam rakaman video di media sosialnya.

Pada masa yang sama, Justin memberitahu, konsert jelajah Justice yang kini berada di Amerika Utara telah membatalkan persembahan di Toronto, Washington DC dan New York.

Tidak cukup dengan itu, seorang doktor perubatan yang dikenali Dr. Yazeed Hair Johari berkata, penyakit yang dialami penyanyi itu berkemungkinan mengambil tempoh sekitar beberapa bulan untuk kembali pulih.

Melihat kepada tempoh yang perlu diambil oleh Justin berkemungkinan konsert jelajah di Malaysia terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan buat sementara.

Konsert Justin di negara ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan pada 22 Oktober depan. – MalaysiaGazette