Home Seni Hidup Malik Streams bawa artis antarabangsa untuk popularkan Malaysia

Malik Streams bawa artis antarabangsa untuk popularkan Malaysia

Ketua Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthiger

KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation Sdn Bhd yang dimiliki oleh Datuk Abdul Malik Dasthigeer sejak dulu lagi sudah membawa ramai artis antarabangsa terutama dari Bollywood dan Kollywood ke Malaysia.

Malah Abdul Malik sanggup berbelanja jutaan ringgit bagi memastikan kehadiran artis-artis nama besar ke Malaysia kerana ia bukan setakat persembahan hiburan namun bagi menaikkan nama negara  dengan merancakkan ekonomi seperti pelancongan.

Abdul Malik baru-baru ini ketika ditemuramah MalaysiaGazette memberitahu, pihaknya sedang dalam fasa akhir pengajuran konsert penggubah dan komposer terkenal, Yuvan Shankar Raja iaitu Yuvan 25 – Live in Concert Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Julai depan dan membelanjakan lebih RM2.4 juta bagi tujuan itu.

Kata Abdul Malik, sepatutnya konsert Yuvan 25 hanya berlangsung sehari sahaja namun kerana permintaan terlampau tinggi dengan penjualan tiket lebih 9,000 di di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur terjual kurang dua jam, pihaknya terpaksa menambah sehari lagi bagi peminat Yuvan di negara ini.

“Malah ada juga permintaan sehingga di Johor dan kita sudah meminta Yuvan untuk tinggal lebih lama dan buat satu lagi konsert di Johor dan beliau bersetuju. 

“Yuvan begitu teruja anjur konsert bagi peminat di negara ini, ia juga konsert bermakna buat beliau kerana tahun ini merupakan tahun ke-25 beliau berkecimpung dalam dunia muzik, konsert ini juga ada siri jelajahnya ke seluruh dunia namun Yuvan mahu memulakan konsertnya di Malaysia dulu. Bukankah itu sendiri buat kita teruja? Saya sendiri peminat tegar Yuvan,” katanya.

Malik Streams membelanjakan RM1.2juta bagi penganjuran konsert Yuvan 25 ini untuk satu hari pertama iaitu pada 16 Julai, tetapi selepas permintaan luar biasa dan Yuvan juga bersetuju, kita juga bersedia membelanjakan RM1.2 juta lagi.

“Untuk makluman juga, melalui penganjuran konsert ini juga yang pertama selepas lebih dua tahun Malaysia malah dunia berdepan dengan lockdown pandemik Covid-19, ramai juga mendapat manfaat. Saya beri beberapa contoh, antaranya ramai akan dapat jana pendapatan mereka.

“Kita ambil lebih 150 pengawal keselamatan sementara, kita juga mengupah lebih 300 kru untuk pelbagai kerja dengan gaji lumayan, tempahan berpuluh-puluh bilik hotel, pendapatan bagi penyewa kereta dan kenderaan lain, makanan dari restoran serta banyak lagi.

“Juga tidak dilupakan kita juga artis tempatan kita, ramai juga akan diberikan nafas baharu antaranya menempa nama dalam industri ini ke peringkat lebih tinggi, tambah pendapatan dan banyak lagi,” katanya.

Penyanyi dan komposer, Yuvan Shankar Raja (kiri) bersama Ketua Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthiger (kanan) pada sidang media mengenai konsert mega anjuran Malik Streams yang bakal berlangsung di Axiata Arena di Hotel Shagri-La, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JUN 2022.

Ahli korporat itu agak popular selepas membawa masuk Superstar Rajinikanth ke Malaysia pada 2016 dan mencipta sejarah apabila pelakon India Selatan itu tinggal lebih 50 hari di negara ini, anjuran konsert ini juga adalah permulaan yang cukup baik selepas era pandemik Covid-19.

Ini kerana dedah Abdul Malik, selepas konsert Yuvan 25, syarikatnya sudah merancang membawa masuk lagi nama besar di Bollywood seperti komposer terkenal AR Rahman, Salman Khan dan banyak lagi.

“Kita masih lagi berbincang dengan pihak berkaitan namun beberapa nama besar seperti Salman Khan dan juga Priyanka Chopra ke Malaysia amat tinggi kerana artis-artis sudah bersetuju, semua ini kita kira sekitar November Disember.

“Sebenarnya kita juga hendak bawa masuk Shah Rukh Khan tetapi jadual beliau agak padat jadi kita tumpu kepada Salman Khan yang akan anjurkan konsert ‘Dabangg’ kelak.

“Komposer terkenal dan penerima anugerah Oscar, AR Rahman pula kita jangka sekitar September ini. Banyak lagi perancangan sedang berjalan. Untuk konsert Yuvan, kita juga sedang cuba bawa masuk pelakon popular India Selatan seperti Dhanush, Shimbu, Hansika. Pastinya semua peminat teruja nanti,” ujarnya.

Yuvan dapat inspirasi hasilkan lagu hits di Malaysia

Kata Abdul Malik lagi, beliau sendiri agak teruja dan secara langsung terlibat dalam semua perbincangan dan perancangan.

“Sebenarnya saya agak bangga apabila berjaya bawa masuk artis-artis ini. Saya juga selalu memberi cadangan kepada penerbit filem Bollywood dan Kollywood ini supaya melakukan penggambaran di lokasi-lokasi menarik di negara ini.

“Bayangkan tempat-tempat kita di tatapi oleh seluruh dunia, kita sedang bercakap tentang filem-filem blockbuster yang kutipannya ratusan juta ringgit dan dolar. Saya adalah seorang yang amat patriotik dan bangga apabila melihat Malaysia menjadi tatapan dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Peminat Yuvan teruja, ribuan tiket konsert di Malaysia habis kurang dua jam