KUALA LUMPUR – Kemungkinan besar berlaku rombakan portfolio barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Selangor selepas keputusan pemilihan PKR baru-baru ini.
Desakan itu membabitkan beberapa pimpinan yang kecundang dalam pemilihan parti itu dan antaranya memegang jawatan dalam kerajaan negeri ketika ini.
Sumber terdekat yang enggan dinamakan memberitahu MalaysiaGazette, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sendiri sudah mula didesak supaya membuat rombakan ini bagi memastikan cabaran mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.
“Sebenarnya memang benar sudah ada desakan dari pimpinan tertinggi serta akar umbi yang mahu rombakan ini. Ini kerana ada pimpinan lebih layak dan berwibawa bagi menyandang jawatan Exco selepas pemilihan baru-baru ini.
“Jawatan Exco ini juga bukanlah suka-suka tetapi bagi teruskan kuatkan parti dan juga kerajaan PH,” kata sumber.
Antara nama yang disebut bakal ditukar itu adalah Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman yang kalah pada pemilihan Ketua Cabang Sungai Buloh dengan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa.
“Mohd Khairuddin hanya mendapat 849 undi manakala dua lagi calon bertanding di Cabang Sungai Buloh, Datuk Ramanan Ramakrishnan dan Mohd Majeman Nyono, masing masing memperoleh 1,499 dan 289 undi.
“Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri pula menang jawatan Ketua Cabang Klang sekaligus antara yang disebut dapat membawa sokongan dan undi generasi muda sesuai dengan portfolio Exco baharu.
“Ada juga pimpinan merasakan sepatutnya Mohd Kharuddin tidak bertanding pada peringkat cabang tempoh hari kerana tidak mendapat restu tetapi tetap mahu bertanding, ini juga timbulkan kegusaran selain beliau kalah kerana tidak mendapat sokongan.
“Sememangnya kemungkinan besar akan ada rombakan dalam masa terdekat. Seperti yang ramai tahu, Menteri Besar kita, Datuk Seri Amirudin tidak begitu gemar dalam mencampur adukkan urusan pentadbiran negeri dan politik sebaliknya lebih bersikap diplomatik namun bersedia mendengar pandangan akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita tunggu dan lihat kerana hakikatnya tidak ada sebarang keganjilan untuk perubahan satu dua portfolio di Selangor, sebelum ini mantan Menteri Besar seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Mohamed dan Tan Sri Khalid Ibrahim pun pernah melakukan rombakan seperti ini,” katanya.
Sumber itu juga ada mendedahkan selain pertukaran Mohd Khairuddin, ada juga nama lain kemungkinan berdepan dengan perubahan jawatan antaranya Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli yang merupakan ADUN Bukit Melawati.
Kekalahan Juwairiya di peringkat Cabang Kuala Selangor sebenarnya mengejutkan pelbagai pihak namun pada masa sama beliau dikatakan mempunyai sokongan kuat pada peringkat pusat terutamanya dalam kalangan wanita apabila menang Timbalan Ketua Wanita PKR.
“Jika anda lihat jika di Selangor, ada beberapa pimpinan utama yang tewas peringkat parti yang berjawatan dan juga bergelar wakil rakyat, ini normal apabila ada pertandingan kita akan ada kalah dan menang tetapi pemilihan Keadilan kali ini sebenarnya pengukur untuk kita mendepani cabaran PRU-15. Kita perlukan pasukan kuat,” ujarnya.
Manakala barisan exco lain dari parti-parti lain pula tidak akan berubah.
Dalam pada itu, MalaysiaGazette juga difahamkan selain Selangor, akan ada perubahan berlaku di Negeri Sembilan yang ketika ini menteri besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berdepan dengan pemilihan semula.
Difahamkan, sebelum ini, tujuh daripada lapan cabang menyokong Aminuddin dari kem Rafizi Ramli namun pada saat-saat akhir, tiga daripada cabang itu menarik balik sokongan terhadap beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
“Jika itu berlaku, beberapa ADUN akan menarik sokongan dan ada kemungkinan, kita akan dapat Menteri Besar yang baharu di Negeri Sembilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette