KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan parti itu tidak hanya memberi keutamaan kepada pemimpin bahagian untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sebaliknya, menurut Zahid yang juga Presiden UMNO, BN mungkin akan menggunakan formula mengetengahkan muka baharu dalam kalangan belia sebagai calon.
“PRU-15 insya-Allah mungkin yang ada di atas pentas ini (merujuk kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lien Ker) dan saya tidak akan meraikan hanya pemegang jawatan di bahagian sahaja jadi calon,” katanya ketika berucap merasmikan Wacana Aspirasi Orang Muda di Menara Dato’ Onn hari ini.
Sementara itu beliau berkata, sokongan anak muda juga dilihat telah kembali kepada BN berdasarkan keputusan dalam beberapa siri pilihan raya negeri lalu dan ia disifatkan masa sesuai untuk diadakan PRU-15.
“Dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) lepas, undi anak muda lari memilih calon BN, PRN Melaka kita ketengahkan 87 peratus calon baru, di Johor 70 peratus.
“Oleh kerana anak muda telah kembali kepada kita (BN), carilah tarikh sesuai (untuk PRU-15),” katanya. – MalaysiaGazette