KUANTAN – Seorang pesara polis dan isterinya maut setelah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung dalam kemalangan di Kilometer 192.6, Lebuhraya Pantai Timur di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakari berkata, mangsa, Abd Talib Akob, 73, dan isterinya, Fuziah Mohd Marzuki, 62, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah dalam insiden yang berlaku pukul 5.29 petang tadi.
“Kemalangan membabitkan kenderaan jenis pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu anak mangsa dipercayai terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam tiga meter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun anak lelaki kedua-dua mangsa berusia 34 tahun dan isterinya mengalami kecederaan ringan.
Zulfadli berkata, pihak bomba menghantar kedua-dua mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital.
Manakala jenazah suami isteri itu diserahkan kepada pihak polis bagi proses siasatan selanjutnya. – MalaysiaGazette