KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengimbau kenangan beliau selepas 24 tahun tidak menjejakkan kaki ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dahulunya dikenali Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ketua pembangkang itu dengan gembira mengakui kehadirannya hari ini nyata mengimbau kenangan lama.
Jelas Anwar, imbauan itu khususnya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) serta beberapa lokasi di bangunan itu yang kerap menjadi tempat beliau berborak dengan ahli UMNO ketika masih menjadi ahli parti itu.
“Ya, ada terkenang (ketika berucap di Dewan Merdeka). Wan Azizah ada tunjukkan gambar (saya). Di sini juga ada beberapa tempat saya kerap berborak dulu,” katanya kepada media selepas melancarkan Buku Kombo Merdeka 65 Tahun Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said pada Pesta Buku Antarabangsa di WTCKL, hari ini.
Anwar hadir sebagai Pengerusi Emeritus, Institut Antarabangsa Pemikiran Ismail (IIIT).
Hadir pada majlis, bekas Timbalan Perdana Menteri, yang juga isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada 1998, Anwar yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, dipecat daripada kedua-dua jawatan tersebut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan pelbagai salah laku. – MalaysiaGazette