Home SISWA UMT kembalikan ‘Dunia Di Bawah Laut: Cerita Dari Laut China Selatan’

UMT kembalikan ‘Dunia Di Bawah Laut: Cerita Dari Laut China Selatan’

KUALA LUMPUR – Sebagai tanda sokongan terhadap kempen ‘World Oceans Day’ (WOD) yang disambut pada 8 Jun saban tahun, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi tampil menganjurkan program ‘Dunia di Bawah Laut: Cerita dari Laut China Selatan’.

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar, sambutan WOW peringkat UMT bermula pada 6 Jun lalu di Pantai Batu Buruk, Terengganu dan meneruskan sambutan tersebut melalui Pusat Rujukan & Repositori (RRC) Laut China Selatan, INOS.

“RRC diwujudkan untuk melengkapkan proses ingin tahu, penemuan dan pembelajaran tentang persekitaran marin melalui pengurusan spesimen dan pemindahan ilmu yang diperolehi dari spesimen yang dikaji oleh para penyelidik.

“Dari segi sejarah, RRC ditubuhkan sebagai Muzium Biodiversiti pada tahun 2004,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penganjuran program itu bermatlamat membentuk kesatuan dalam menghargai sumbangan lautan kepada manusia dan alam.

Malah ia dalam masa yang sama dijangka dapat membentuk tindakan bersama bagi memelihara lautan bagi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Tambah Dr. Mazlan, sebagai sebuah universiti yang mempunyai bidang tujahan dalam sains marin dan sumber akuatik, penyelidikan, pembentukan pengetahuan baru, pemindahan serta perkongsian ilmu di UMT sememangnya berkait rapat dengan persekitaran dan ekosistem akuatik.

“Para pensyarah, penyelidik dan pelajar UMT akan berinteraksi rapat dengan organisma serta persekitaran bagi memahami proses ekologi, pengaruhnya kepada manusia dan kesan aktiviti manusia kepada alam. Ini memerlukan sebahagian spesimen sama ada haiwan, tumbuhan, tanah atau sedimen dibawa balik dan disimpan sebagai rujukan dan kajian pada masa hadapan.

“Di sinilah RRC memainkan peranan penting dalam menguruskan spesimen-spesimen ini kekal dalam keadaan yang terbaik supaya kajian dan rujukan oleh penyelidik dapat dilakukan secara berterusan,” jelas Dr. Mazlan.

Ujarnya, sebahagian besar spesies-spesies yang berasal dari kawasan Malaysia disimpan di beberapa pusat repositori luar negara seperti di eropah, Amerika dan negara jiran.

Rentetan itu, RRC sebenarnya memainkan khidmat negara yang sangat penting sebagai ‘perpustakaan’ yang menyimpan bukti fizikal kepelbagaian alam semulajadi Malaysia. Telah banyak penerbitan saintifik menggunakan spesimen yang disimpan di RRC.

Sementara itu, Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT, Prof. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, RRC mempunyai koleksi spesimen alam semulajadi dan sehingga kini RRC mengurus dan menyimpan hampir 50 ribu spesimen terdiri daripada spesimen zoologi (haiwan), botani (tumbuhan), geologi (sedimen dan fosil) dan juga genomik (untuk kajian genetik).

“Terdapat 70 spesimen yang dikelaskan sebagai ‘type’ spesimen iaitu spesimen yang digunakan untuk menamakan spesis baru dalam sains. Kesemua spesimen ini yang mempunyai nilai keseluruhan hampir RM7.5 juta.

Ujarnya lagi, pengurusan spesimen dan data di RRC juga adalah mengikut amalan antarabangsa berdasarkan kepada format Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat yang digunapakai oleh kebanyakan muzium alam semulajadi di pelbagai negara.

Untuk rekod, RRC@INOS Open Day 2022 akan berlangsung sehingga 16 Jun 2022 dan memberi peluang kepada komuniti serta pelajar-pelajar sekolah untuk sama-sama menerokai “Dunia Di Bawah Laut’. – MalaysiaGazette