RAUB – Isu kekurangan pekerja terus membelenggu pelbagai industri dengan majikan di Raub, Pahang mengadu mereka tidak melihat kelibat pekerja asing walaupun telah memohon lebih setengah tahun lalu.
Nanyang Siang Pau melaporkan, walaupun kerajaan telah mengumumkan usaha merekrut pekerja asing dari 14 negara, tetapi majikan pula mengadu tentang proses permohonan yang rumit.
Menurut majikan, walaupun mereka telah memohon sebelum aktiviti ekonomi dibuka semula, tetapi permohonan mereka masih tidak berhasil.
“Masa itu, aktiviti ekonomi belum dibuka tetapi kami dibenarkan memohon dengan harapan pekerja akan tiba apabila aktiviti ekonomi dibuka. Tetapi apa yang diharapkan tidak tiba-tiba,” kata seorang majikan.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Cina Jerantut, Datuk Natalie Lim berkata, pelbagai sektor berdepan masalah kekurangan pekerja yang serius dan para majikan tidak sabar untuk menerima pekerja asing.
Katanya, keadaan itu adalah serius terutamanya dalam industri pengeluaran dan juga perladangan yang kekurangan pekerja am sehingga menjejaskan pengeluaran.
Beliau mencadangkan proses permohonan dipermudahkan, dokumen permohonan dikurangkan dan proses permohonan ditambah baik. – MalaysiaGazette