Home Ekonomi Firefly sambung operasi penerbangan ke Singapura

Firefly sambung operasi penerbangan ke Singapura

Gambar hiasan

SINGAPURA –  Firefly, unit milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini menyambung semula operasi penerbangannya ke Lapangan Terbang Seletar di sini yang digantung sejak Mac 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19.

Penerbangan FY3124 berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan tiba dengan 64 penumpang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Philip See dan delegasi yang mengiringi beliau pada pagi ini.

Penerbangan sulung Firefly ke Seletar adalah pada April 2019.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, See berkata beliau berharap permintaan akan meningkat dan beransur-ansur kembali semula ke paras seperti sebelum pandemik.

Syarikat penerbangan itu yang menggunakan enam pesawat  ATR, enjin berkembar turboprop terbang setiap hari ke Singapura sebelum ini, dan menawarkan penerbangan dua kali sehari buat masa ini.

“Kami akan melihat kepada prestasi semasa penerbangan dua kali sehari ini terlebih dahulu sebelum memutuskan garis masa yang jelas. Jika permintaan meningkat, kali akan melakukan secara berperingkat dua kali dan kemudiannya empat kali dan enam kali,” katanya.

Mengenai unjuran penumpang sehingga akhir tahun ini, See berharap ia boleh mencecah 60,000 hingga 70, 000 apabila kekerapan penerbangan ditambah.

Menurutnya sebelum COVID-19, dengan jumlah enam penerbangan sehari muatan penumpang adalah kira-kira 50 peratus hingga 60 peratus.

Sementara itu apabila ditanya sama ada Firefly akan menawarkan penerbangan ATR bagi laluan Pulau Pinang-Seletar, beliau berkata tidak buat masa ini kerana pesawat itu tidak mempunyai kapasiti dan jarak untuk terbang di laluan itu dan perlu melakukannya menerusi Lapangan Terbang Changi.

“Kami akan menilainya. Kami belum mengesahkan apa-apa lagi. Kami perlu melakukan penilaian pasaran. Ia perlu dilakukan dari Changi kerana Seletar hanya menerima operasi penerbangan turboprop dan turboprop tidak mempunyai kapasiti atau jarak untuk menawarkan laluan Pulau Pinang-Singapura.

“Susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa, kami perlu membuat keutamaan laluan dan pasaran mana yang akan difokuskan,” katanya.

See berkata Firefly tidak akan menyambung semula penerbangan antarabangsa ke destinasi lain dalam tempoh 12 bulan akan datang atau berkembang ke destinasi baharu.

“Kami akan menumpu untuk menjayakan laluan Subang-Seletar. Menambah muatan dan kuantiti kerana pasaran tersebut adalah besar. Kami mahu menumpukan kepada itu buat masa ini,” katanya.

Ditanya mengenai kekangan tenaga kerja dalam industri penerbangan, beliau berkata buat masa ini Firefly tidak melihatnya sebagai satu cabaran besar.

“Reka bentuk lapangan terbang (Subang dan Seletar) adalah sangat mudah. Kami tidak berdepan dengan kerumitan seperti mana yang mungkin anda lihat di hab transit utama seperti KLIA atau Changi di Singapura.

Bagaimanapun, katanya, syarikat penerbangan itu akan melihat  perkembangan operasinya setiap hari.

“Persekitraan di sini sangat tidak menentu, bukan hanya di Singapura tetapi di seluruh rantau ini. Jadi kami akan memantaunya dengan sangat berhati-hati,” katanya.

Firefly mengendalikan pesawat turboprops ATR 72-500, menghubungkan ke pelbagai destinasi di Segi Tiga Pertumbuhan Malaysia, Singapura, Selatan Thailand dan Sumatera, sambil menyelaras dengan agenda Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Syarikat penerbangan itu melancarkan operasi baharu dengan pesawat Boeing 737-800s dari Pulau Pinang menghubungkan ke wilayah utara dan selatan Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak. – BERNAMA