KUALA LUMPUR – Bekas personaliti televisyen, Senator Datuk Ras Adiba Radzi mengakui ada pihak yang mempersendakannya selepas mengumumkan dirinya kembali mendirikan rumah tangga dengan bekas suaminya, Mohamed Azam Ali.
Dalam satu perkongsian di Instagram miliknya, beliau memberitahu, ada yang turut mempersoalkan keputusan untuk mereka berumah tangga.
“Tika saya serta suami berbalik semula, ada yang mempersendakan saya sebagai seorang janda dan dia sebagai duda. Ada yang menyoalkan hasrat kami untuk bersatu dan memperlekehkan hasrat kami untuk bernikah kembali.
“Kepada mereka ini, ingin saya berkata, kita adalah manusia dan kita tiada hak untuk menilai orang lain. Tiada yang sempurna. Tika kalian mempersoal dan persendakan kami, ianya seperti kalian memperlekehkan aturan Ilahi,” luahnya.
Sebelum ini, kedua-duanya pernah mendirikan rumah tangga pada 16 Mac 2019 di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Ras Adiba tidak mendedahkan bila mereka bercerai dan punca penceraian boleh berlaku.
Sementara itu, Ras Adiba menegaskan kepada yang mempersendakannya itu agar tidak mempersoalkan qada dan qadar.
“Jodoh dan ajal di tanganNya. Siapalah kita untuk persoalkan qada dan qadar, semuanya sudah tertulis. Hidup kita terlalu singkat, usah pusing dengan hidup orang lain.
“Bersyukurlah dengan segala yang ada, sebelum ianya ditarik dari kita. Sayang saya buat semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette