Home Seni Hidup Lebih 11,000 tawaran peluang kerja dalam karnival kerjaya Melaka

Lebih 11,000 tawaran peluang kerja dalam karnival kerjaya Melaka

Hee Sem (kanan) dan Abd Razak meninjau persiapan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans di MITC, Ayer Keroh Melaka bermula Sabtu dan Ahad ini yang menawarkan lebih 11,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

MELAKA – Lebih 11,000 jawatan kosong dalam pelbagai sektor ditawarkan 37 majikan sempena Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini Sabtu dan Ahad depan.

Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem berkata, karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu sejajar dengan pembukaan semua sektor industri dalam fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan ribuan golongan pencari kerja termasuk graduan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta selain pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam dan luar negeri untuk memohon.

“Banyak syarikat swasta yang terlibat pada karnival kali ini antaranya Petronas, Sime Darby Plantation Berhad, Maybank Berhad, Infineon Technologies (M) Sdn Bhd, Honda Malaysia Sdn Bhd, Hatten Hotel dan A’Famosa Resort Melaka

“Uniknya tahun ini, kita juga ada penglibatan daripada platform digital seperti Grabcar, Iheal Medical Services dan Akla Services yang menawarkan peluang pekerjaan di dalam Ekonomi Gig,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiakan karnival berkenaan di MITC di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah PERKESO Melaka, Abd Razak Omar.

Sehubungan itu, jelasnya, golongan pencari kerja dipelawa mengambil peluang pada karnival itu yang akan diadakan di MITC pada hujung minggu ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, mereka yang bekerja sendiri juga boleh maklumat lanjut berkenaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO serta khidmat nasihat keushawanan dan buruh daripada agensi-agensi kerajaan yang turut serta dalam karnival tersebut. – MalaysiaGazette