KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menubuhkan Unit Rondaan Berbasikal sebagai alternatif untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di sekitar bandar raya itu.
Seramai lima orang anggota penguat kuasa MBK dalam unit terbabit akan melakukan rondaan secara berkala di empat lokasi tumpuan iaitu di Taman Esplanade, Esplanade Tanjung Api, Menara 188 Kuantan dan Kuantan Art Street.
Unit berkenaan akan menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dengan berbasikal setiap hari Ahad mulai 12 Jun 2022.
Menurut MBK, alternatif berkenaan diharap dapat meningkatkan produktiviti anggota penguatkuasaan melalui amalan gaya hidup sihat dan seimbang serta lebih mesra dan dekat dengan rakyat.
Bermula Mac 2021, MBK juga melaksanakan pemantauan menerusia sistem kamera litar tertutup di beberapa lokasi yang menjadi ikon pelancongan baharu negeri Pahang seperti Kuantan Street Art bagi mencegah kegiatan vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab.- MalaysiaGazette