KUALA LUMPUR – Pas sudah melampaui batas adab dalam berkawan dan tiada adab dalam berselisih pendapat.
Pas dilihat menyerang Presiden UMNO secara berkala seolah-olah ada satu gerakan terancang pelbagai pihak, kata Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
“Beberapa pemimpin Pas akhir-akhir ini berjemaah berpesta menyerang kepimpinan UMNO semata-mata mahu menentang suara UMNO yang mahu diadakan pilihan raya umum tahun ini.
“Kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin yang menyuruh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi “bisu politik” dan meminta Ahli Majlis Tertinggi UMNO menasihati Presiden UMNO berhenti bercakap tentang pilihan raya umum jelas adalah satu campur tangan terhadap urusan UMNO.
“Ini parti kami, kami pandailah mengurus sendiri tanpa perlu orang luar memberitahu apa yang perlu dilakukan. Tidak perlu sibuk mencampuri urusan nakhoda kapal lain sedangkan kapal kamu sendiri sudah sesat haluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Syed Mohd Johan Rizal, adalah lebih baik mereka menasihatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersungguh sunguh mahukan jajaran baharu demgan DAP.
“Atau mungkin ada fatwa baharu daripada tok guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) untuk menghalalkan kerjasama terbaru dengan DAP? ” sindirnya.
Sebagai peringatan, UMNO mahu jelaskan desakan yang mahu pilihan raya umum disegerakan adalah suara majoriti ahli parti dan presiden bertanggungjawab memperjuangkan suara ahli.
“Kemahuan pilihan raya awal adalah suara orang UMNO pada perhimpunan parti yang lepas, suara akar umbi pada mesyuarat cawangan dan bahagian,” ujarnya.
Kenyataan Khairil Nizam itu difahami sebagai membela kecaman terhadap Menteri Besar Kedah yang celupar mendakwa UMNO mahu PRU cepat kerana ada kaitan dengan kes mahkamah beberapa pemimpinnya.
“Sedangkan dia sendiri lupa tentang kenyataan flip flop presidennya pada 28 Februari 2020 yang bertegas mahukan pilihan raya semula setelah PH jatuh dengan sendirinya.
“Memang benarlah, kuasa yang ada walaupun sedikit cukup memabukkan sehingga seorang berstatus tok guru sendiri mudah berubah.
“Jelas dari suara dua pemimpin Pas ini, mereka fobia PRU kerana menyedari saat hilang jawatan, hilang keistimewaan sebagai menteri, menteri besar yang semakin hampir. Kalau boleh mereka mahu memberhentikan waktu, supaya tarikh tamat penggal sekarang iaitu pada pertengahan tahun hadapan tidak tiba,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, sekiranya Pas takut kalah jangan bertanding PRU dan jadilah parti kuat ceramah sambing mengedar tong derma kerana mendakwa ia lebih menguntungkan.- MalaysiaGazette