KUALA LUMPUR – Pusat hiburan, Karaoke Tv (KTV), bar, pub dan bistro yang menawarkan pakej RM8,000 hingga RM30,000 termasuk pakej tawaran pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing diserbu dalam Op Noda Khas semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, demi mengaburi pihak berkuasa harga yang ditawarkan premis-premis berkenaan kononnya berdasarkan tawaran perkhidmatan dan saiz bilik karaoke.
“Premis tersebut turut menawarkan perkhidmatan GRO warga asing atas permintaan pelanggan dengan kadar bayaran yang ditetapkan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Selepas tamat operasi yang dibenarkan, pelanggan akan menggunakan laluan rahsia iaitu pintu di bahagian belakang premis untuk pergerakan keluar dan masuk dikhaskan bagi pelanggan tetap sahaja,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu beliau berkata, operasi itu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Katanya, operasi tersebut diadakan serentak di setiap negeri.
Menurut Abd Jalil, dalam serbuan tersebut PDRM telah berjaya membuat tangkapan seramai 102 orang wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO).
Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun.
Selain itu, seramai 61 individu tempatan turut ditahan membabitkan pemilik premis, pengurus, penjaga kaunter dan pekerja di pusat hiburan yang berusia 20 hingga 55 tahun.
Katanya lagi, melalui operasi serentai itu juga, polis telah membuat pemeriksaan ke atas 1,133 orang pekerja dan pelanggan bagi mengesan lain-lain kesalahan jenayah serta penglibatan mereka dalam kumpulan kongsi gelap/ gangsterism/ Thug Gang.
Jelas Abd Jalil, semakan mendapati dua orang pelanggan pusat hiburan yang diserbu di dalam senarai dikehendaki atas kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Turut dirampas 44 keping lesen perniagaan, 27 buah pembesar suara, 22 buah mikrofon, 16 buah Amplifier, 85 botol minuman keras pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM12,885
Kesemua tangkapan dan hasil rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) berhampiran untuk siasatan lanjut. -MalaysiaGazette