Home Seni Hidup Radiance Agrotech bakal pengeluar lembu daging terbesar negara

Radiance Agrotech bakal pengeluar lembu daging terbesar negara

Dr Mohd. Ezman Zamani .

KUALA LUMPUR – Radiance Assets Bhd., sebuah syarikat pemegangan pelaburan dipacu teknologi patuh syariah kini mengembangkan sayapnya dalam bidang agroteknologi.

Pihaknya telah membuat pelaburan sebanyak RM1.1 bilion menerusi anak syarikatnya, Radiance Agrotech Sdn. Bhd. bagi tujuan itu.

Pengerusi Eksekutifnya, Dr Mohd. Ezman Zamani berkata, pihaknya menyasarkan dapat menghasilkan 50,000 ekor lembu dalam tempoh lima tahun akan datang untuk muncul sebagai pengeluar utama daging haiwan itu di negara ini.

Sebagai permulaan, Radiance Agrotech sedang mengendalikan ladang lembu yang menempatkan 400 ekor lembu di pusat penyembelihan di Bangi, Selangor yang beroperasi sejak awal tahun ini selain pembukaan lokasi baharu di sekitar Johor tidak lama lagi.

“Di bawah Radiance Agrotech, kami ingin menghasilkan ladang ternakan berteknologi tinggi yang dibawa dari Belanda. Di negara berkenaan, satu syarikat berjaya menternak 30,000 lembu namun di Malaysia kalau syarikat itu menghasilkan 5,000 lembu, jumlah adalah yang terbesar di sini tetapi itu pun masih tidak dapat memenuhi permintaan masyarakat.

“Justeru, kami hendak membawa teknologi yang sudah terbukti walaupun menelan kos tinggi namun jangka masa panjang di mana objektifnya adalah  kelestarian.

“Menerusi teknologi ini, hanya dua pekerja berada di dalam kandang manakala makanan, air dan najis diuruskan secara automatik dan tiada sentuhan manusia dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai ladang ternakan lembu yang bebas penyakit kaki dan mulut (FMD),” katanya dalam temubual baru-baru ini.

Radiance Agrotech sedang mengendalikan ladang lembu yang menempatkan 400 ekor lembu di pusat penyembelihan di Bangi, Selangor yang beroperasi sejak awal tahun ini.

Dr. Mohd. Ezman menambah, objektif Radiance Agrotech menubuhkan pusat ternakan lembu berteknologi bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata.

Tegas beliau, pengembangan portfolio itu bersikap serampang dua mata dalam usaha membantu kerajaan menurunkan harga daging lembu di pasaran negara ini dalam membantu masyarakat berpendapatan rendah serta menampung keperluan pasaran ketika ini.

Ini kerana katanya, pusat ternakan akan mewujudkan satu rantaian dalam ekonomi bermula dari ternakan hingga penghasilan daging segar yang tidak melibatkan orang tengah sebagaimana yang diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Ladang ini adalah bersepadu apabila sistemnya bermula dengan ternakan, pembiakan dan persenyawaan, pemakanan, penyembelihan, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran sama ada di dalam dan luar negara.

“Selain itu, produk siap daging lembu yang dihasilkan akan dijual di cawangan kedai-kedai Radiance Agrotech di bawah jenama RediMeat. Inisiatif ini akan membolehkan kami menawarkan harga rendah di pasaran dengan sasaran penurunan antara 10 hingga 20 peratus berbanding harga sekarang.

“Justeru kami menyasarkan dapat mewujudkan 1,000 outlet RediMeat dalam tempoh lima tahun akan datang yang berkonsep kedai daging segar secara terus kepada orang ramai,” katanya sambil memberitahu Perak akan menjadi pilihan dalam usaha untuk mengembangkan portfolio pelaburan agroteknologinya itu yang melibatkan kawasan seluas 7,000 ekar.

Radiance Assets Bhd. menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara sebelum ini.

Sebagai perancangan masa depan, Dr. Mohd. Ezaman memberitahu, selain ternakan lembu, Radiance Agrotech akan menceburi bidang ternakan ayam yang akan dimajukan secara berperingkat.

“Menyedari potensi pasaran dalam pertanian, kami komited untuk menghasilkan produk terbaik dan berkualti tinggi kepada rakyat seperti daging lembu dan juga ayam.

“Paling penting, kami ingin membantu Keluarga Malaysia mendapatkan produk pada harga yang berpatutan dan tidak membebankan mereka.

“Pada masa sama, objektif ladang lembu yang dirancang ini bukan setakat untuk pasaran daging di Malaysia semata-mata, sebaliknya akan dipasarkan kepada negara jiran pada masa akan datang apabila kami mendapat sijil bebas FMD,” katanya. – MalaysiaGazette

Pihaknya menyasarkan dapat menghasilkan 50,000 ekor lembu dalam tempoh lima tahun akan datang.