Home Politik Segerakan PRU-15 bukan kehendak presiden tapi ahli UMNO – Shamsul Anuar

Segerakan PRU-15 bukan kehendak presiden tapi ahli UMNO – Shamsul Anuar

Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Keperluan untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) merupakan keputusan UMNO dan pendirian itu dibuat sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dan Perhimpunan Agung Khas UMNO.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, keperluan itu bukan kehendak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“PRU-15 disegerakan adalah keputusan UMNO. Pendirian juga dibuat sewaktu PAU dan Perhimpunan Agung Khas UMNO. Kita serahkan kepada Top 5 UMNO.

“Ini bukan kehendak Presiden UMNO sahaja. Keputusan ini dibuat oleh UMNO.

“Kita mahu kuasa diberikan semula segera kepada rakyat. Biarlah rakyat pilih parti mana yang akan diberikan mandat melalui proses pilihan raya,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya.

Sabtu lalu, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Ahmad Zahid yang kini berdepan perbicaraan kes rasuah bertegas mahu mengadakan pilihan raya umum lebih awal kerana takut dipenjarakan.

Tambah Shamsul, pilihan raya perlu disegerakan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan bagi membentuk kerajaan yang stabil dan diyakini pelbagai pihak.

“Kita mesti bentuk kerajaan yang dianggotai parti yang sehaluan agar segala dasar, polisi dan agenda negara dapat berfungsi dengan sempurna untuk rakyat dan negara.

“Kerajaan yang dianggotai parti berlainan ideologi dan berbeza kepentingan merugikan rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul turut mempersoalkan tindakan Pas seolah-olah takut jika PRU-15 dilaksanakan dalam masa terdekat sedangkan ia banyak kebaikan dengan menyerahkan mandat semula kepada rakyat.

“Kenapa Pas takut sangat dengan PRU15? Kalaupun tak mahu lagi PRU-15 berilah alasan yang menampakkan kematangan sebagai parti yang kononnya membawa imej Islam.

“Lupakah kita Islam mengajar kita mendoakan kebaikan kepada semua?” katanya lagi. – MalaysiaGazette