Home Nasional Anak seni kena hasilkan karya bermanfaat untuk masyarakat

Anak seni kena hasilkan karya bermanfaat untuk masyarakat

Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad.

KUANTAN – Penggiat seni dan hiburan di tanah air dinasihatkan supaya menggunakan bakat masing-masing ke arah yang lebih bermanfaat kepada masyarakat.

Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata,  anugerah yang diberikan itu sepatutnya digunakan untuk mendidik dan memberi mesej yang baik kepada ummah bukan mengejar populariti semata-mata.

Sejak kebelakangan ini, katanya, dunia seni tanah air disajikan dengan banyak drama Melayu yang memaparkan adegan berunsur lucah sehingga membimbangkan ramai pihak.

“Soal seni adalah benda yang tuhan beri, bukan semua orang pandai buat seni, begitu juga pelakon kebanyakannya cantik-cantik, ini pun anugerah tuhan, sebab itu kalau boleh mereka gunakannya untuk jadikan satu perkara yang boleh memberi manfaat kepada orang.

“Mesej untuk mendidik masyarakat itu biar sampai, sesetengah orang dia mahu faham agama, akhlak dan moral melalui drama, animasi dan pelbagai lagi, mereka tidak minat pada ceramah yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Pahang  di sini hari ini yang dihadiri hampir 500 tetamu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Justeru Idris berkata, beliau menghormati anak seni dan mengharapkan mereka terus berkarya dengan menghasilkan program yang bermesej dan berkualiti.

“Jadi sepatutnya bila kita buat program-program macam ini biar ada mesejnya, janganlah kita hanya untuk mahu mempopularkan dengan membuat program yang tidak elok dan bertentangan dengan agama atau bertentangan dengan nilai budaya kita,” katanya.

Dalam pada itu Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukkan kewangan sebanyak RM60.4 juta kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA negeri ini pada tahun ini.

Datuk Idris Ahmad menyampaikan bantuan sebanyak RM60.4 juta kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA negeri ini di Kuantan, Pahang hari ini.

Jelasnya, kerajaan telah meluluskan peruntukan bantuan sebanyak RM561,550 kepada Pahang bagi membina dan membaik pulih 42 masjid dan 45 surau yang terkesan dengan musibah banjir di negeri ini menerusi Yayasan Taqwa  – MalaysiaGazette