Home Pendapat Bantuan pertanian perlu untuk kecukupan makanan negara

Bantuan pertanian perlu untuk kecukupan makanan negara

Pekerja MARDI melakukan kerja-kerja pertanian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2021.

ISU ketidakcukupan makanan kini gawat diperkatakan, terutamanya ekoran serangan
Russia ke atas Ukraine.Ini antaranya faktor penyebab kekurangan eksport beberapa
jenis bahan asas makanan utama seperti tepung, minyak dan sebagainya. Langkah
drastik beberapa negara seperti Indonesia yang tidak mengeksport minyak sawitnya
ke negara lain juga menjejaskan bekalan minyak masak dunia kerana isu kekurangan bekalan minyak dalam peringkat domestik.

Saranan kerajaan agar pesawah menghasilkan lebih kitaran padi untuk untuk bekalan beras yang merupakan makanan utama rakyat negara adalah saranan yang bagus bagi menjamin kecukupan beras tersebut.Namun di sebalik saranan tersebut beberapa perkara perlulah dipandang serius oleh kerajaan dan kementerian terbabit.

Sebagai contoh perlulah diberikan insentif, subsidi dan sebagainya kepada pesawah bagi merealisasikan hasrat kecukupan beras negara. Cemuhan juga perlian kepada golongan petani, pesawah dan peneroka yang dikatakan mentaliti subsidi rakyat perlulah dihapuskan sama sekali. Ini kerana dari segi realiti dan praktikal, golongan tersebut amat memerlukan bantuan pertanian tersebut.

Adalah menjadi tugas, tanggungjawab juga dasar kerajaan untuk memberi sebarang
jenis bantuan kepada rakyat yang ingin meningkatkan hasil pertanian Malaysia yang
merupakan salah satu sumber pendapatan negara, yang hasilnya bukannya dinikmati secara persendirian namun dapat dinikmati hasilnya dek seluruh rakyat Malaysia. Dan secara logiknya petani dan pesawah juga memerlukan modal yang besar untuk bersawah dengan pembelian biji benih yang bermutu tinggi juga jentera moden bagi memudahkan kerja bagi penghasilan seperti yang dihasratkan kerajaan.

Segala jentera berkaitan kerajaan juga perlulah mendokong usaha petani ini seperti pemasaran dan mengurangkan karenah biokrasi yang tidak perlu. Oleh itu petani tidak perlu secara persendirian membuat pinjaman bank bagi tujuan mengusahakan pertanian.
Insentif dari kerajaan untuk memajukan industri ini bukanlah sesuatu yang baharu walaupun bagi negara-negara maju. Sebagai contoh negara Itali banyak menyediakan insentif bagi usahawannya memajukan industri fesyen dan barangan kulit buatan Itali. Hasilnya kota Milan juga kota-kota lain di Itali seperti Florence menjadi antara kota fesyen dan pengeluar barangan kulit terkenal dunia.

Selain itu peranan setengah jabatan terkait kerajaan yang dikatakan menyediakan kemudahan pinjaman, kewangan dan sebagainya untuk para petani juga perlu dikaji
semula. Apa gunanya kewujudan jabatan ini jika tidak mampu merealisasikan apa yang diuar-uarkan. Mungkin jabatan tersebut perlu dirombak lalu mampu mengurangkan kos operasi dan akhirnya boleh memberi lebih subsidi kepada petani.Ini dilihat lebih berdaya saing dan lebih memberi manfaat kepada banyak pihak seperti petani dan pengguna jika dibandingkan dengan pengoperasian jabatan yang kurang peranannya.

Dalam hal ini banyak pihak akan cuba menuding jari kepada kerajaan dan sesama sendiri. Mereka berpendapat hal ini terjadi kerana kerajaan atau kementerian terbabit yang tidak memberikan peruntukan kemudahan pembiayaan tersebut. Walau mungkin tidak dapat disangkal akan kebenaran ini, pihak yang menuding jari tersebut haruslah memberikan respons kepada pihak atasan, kementerian dan kerajaan akan keperluan pelbagai bentuk pinjaman, kemudahan terutamanya pada petani peserta RISDA, FELDA, FELCRA dan sebagainya.

Respons atau cadangan inilah yang seharusnya dibuat kajian oleh kerajaan bagi memantapkan lagi visi, polisi dan pelan tindakan, yang seharusnya mendapat suara-suara dari akar umbi, terutamanya para petani itu sendiri. Jika Malaysia serius mahu menangani ketidakcukupan makanan, selain pertanian komersial seperti kelapa sawit dan getah, pertanian untuk bahan asas makanan seperti padi, koko, kopi, jagung dan sebagainya perlu diberi lebih perhatian juga. Oleh itu pelan tindakan perlu selaras dengan keperluan juga kemudahan pembiayaan, jentera dan sebagainya kepada para petani.Moga satu hari nanti Malaysia mampu mengeksport beras seperti negara jiran dan bukan sahaja mengeluarkan beras yang secukupnya untuk rakyatnya sahaja.

Dr.Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia