Home Ekonomi Ennova lantik SCIB untuk kerja ganti tiang lampu pintar

Ennova lantik SCIB untuk kerja ganti tiang lampu pintar

Sarawak Consolidated Industries Berhad menjelaskan syarikat itu hanyalah sub-kontraktor yang dilantik oleh Ennova Sdn Bhd bagi projek penggantian tiang lampu pintar bersepadu untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

KUALA LUMPUR – Sarawak Consolidated Industries Berhad menjelaskan syarikat itu hanyalah sub-kontraktor yang dilantik oleh Ennova Sdn Bhd bagi projek penggantian tiang lampu pintar bersepadu untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami tidak mengetahui sebarang pembayaran atau pengaturan pembiayaan untuk kontrak oleh DBKL,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Ennova yang melantik SCIB Properties Sdn Bhd (SCIBP) sebagai sub-kontraktor bagi melaksanakan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan projek tersebut melalui Surat Penganugerahan (LoA) bertarikh 7 Jun 2022.

LoA itu menyatakan skop kerja SCIBP termasuk, tetapi tidak terhad kepada pembersihan tapak, penggalian dan struktur tapak konkrit bertetulang, meletakkan semua konkrit tetulang, bolt dan nat dan plat pada semua struktur keluli lembut, dengan tiang, kelengkapan dan aksesori yang akan dibekalkan oleh Ennova.

Skop ini juga termasuk kerja-kerja pagar perimeter berantai, pagar keluli lembut dan pembinaan; kerja tanah, meratakan, menetapkan, membuat titik, dan kerja lain yang berkaitan; kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan seperti pendawaian, kotak suis, penyambungan kepada konduit, kabel bumi tanah dan rem serta pemasangan monopole, tambahnya.

Ennova akan menanggung semua kos pembinaan tiang tersebut termasuk sewa setiap tiang yang didirikan mengikut harga sewa yang dipersetujui antara pihaknya dan DBKL. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

DBKL nafi lantik SCIB