KUALA LUMPUR – Seperti dijangka ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon tidak menyenaraikan penjaga gol, Farizal Marlias dalam kesebelasan utama bagi aksi terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 berdepan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.
Keputusan ini tidak mengejut sebaliknya pengendali Korea Selatan itu buat pertama kalinya menurunkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bagi menggalas tugas selaku benteng terakhir negara.
Farizal dikritik hebat selepas dia melakukan kesilapan mudah dan dianggap sebagai punca kekalahan 1-2 skuad Harimau Malaya di tangan Bahrain pada Sabtu lalu.
Ketiadaan Farizal juga menyaksikan tugas kapten skuad kebangsaan digalas penyerang, Syafiq Ahmad yang mengambil tempat Darren Lok dalam kesebelasan utama bagi perlawanan malam ini.
Selain itu, Pan Gon juga kembali menyenaraikan dua pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim yang sebelum ini berada di bangku simpanan ketika berdepan Bahrain.
Bahagian tengah turut menyaksikan perubahan dalam kesebelasan utama berbanding ketika berdepan Bahrain apabila Nor Azam Azih dan Safawi Rasid turut tersenarai kali ini bersama Syamer Kutty Abba.
Bahagian pertahanan pula menyaksikan Shahrul Saad mengambil tempat Khuzaimi Piee, sementara pemain lain termasuk Matthew Davies, Dion Cools dan Corbin Ong dikekalkan oleh Pan Gon. – MalaysiaGazette