Home Nasional Imam mengaku tak bersalah dakwaan amang seksual terhadap dua kanak-kanak

Imam mengaku tak bersalah dakwaan amang seksual terhadap dua kanak-kanak

Tertuduh mengaku tidak atas tiga pertuduhan seksual di hadapan dua kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

MELAKA – Seorang imam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan seksual di hadapan dua kanak-kanak perempuan bulan lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan imam sebuah surau di Limbongan di sini didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di surau berkenaan antara pukul 3.30 hingga 5 petang pada 28 Mei lalu.

Bapa kepada dua anak itu juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun lapan bulan di lokasi dan hari yang sama antara pukul 5 hingga 5.30 petang.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara berbogel di hadapan mangsa sama berusia 13 tahun lapan bulan di tempat dan waktu sama bagi maksud seksual.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, seorang tertuduh didakwa menyimpan video lucah dalam telefon bimbit yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Mustapa merayu jaminan rendah dengan alasan warga emas itu sudah berusia dan menderita penyakit gout.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM23,000 dan menetapkan tarikh 15 Julai sebagai sebutan semula keempat-empat pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan Sharina Farhana Nor Sa’ari. – MalaysiaGazette