Home Nasional Kes denggi di Kedah meningkat 143.8 peratus

Kes denggi di Kedah meningkat 143.8 peratus

Sebanyak 490 kes denggi dilaporkan di Kedah setakat 11 Jun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 143.8 peratus berbanding 201 kes bagi tempoh sama tahun lepas.- Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Sebanyak 490 kes denggi dilaporkan di Kedah setakat 11 Jun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 143.8 peratus berbanding 201 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, hanya satu kes kematian akibat denggi dicatatkan setakat ini, tegas Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo.

Jelas beliau, bagi bilangan wabak pula, ia menunjukkan peningkatan kepada 55 kes berbanding hanya lapan kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Dr. Othman Warijo

“Daripada keseluruhan jumlah wabak yang dilaporkan tiga hotspot telah dikawal, lapan masih aktif manakala 44 lagi telah tamat.

“Selain itu, kita juga telah memeriksa 157,399 premis dan sebanyak 2,887 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM1.38 juta kepada pemilik premis yang terdapat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Dr. Othman berkata, aktiviti kawalan dan pencegahan dilakukan bagi semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan di semua lokaliti bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama mengambil tindakan pencegahan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes demi mencegah jangkitan Denggi. – MalaysiaGazette