KUALA LUMPUR – Malaysia mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 selepas membelasah Bangladesh 4 – 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Harimau Malaya layak secara merit kali keempat menerusi slot tempat kedua terbaik kumpulan di belakang Bahrain.
Pada aksi ketiga kumpulan itu, gol Malaysia dijaringkan oleh Safawi Rasid (minit 16), Dion Cools (m 38), Syafiq Ahmad (m 47) dan Darren Lok (m 73) manakala gol tunggal Bangladesh oleh Mohammad Ibrahim (m 31).
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Bahrain yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan akhir muncul juara Kumpulan E dengan mengumpul sembilan mata, sementara Turkmenistan di tangga ketiga (tiga mata) dan Bangladesh di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Sementara itu, selain Malaysia, tujuh pasukan lain yang turut menempah tiket ke Piala Asia 2023 setakat ini ialah Palestin, Uzbekistan, Thailand, India, Hong Kong, Krygyzstan dan Tajikistan.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia adalah pada tahun 1980 di Kuwait.
Selain itu, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Piala Asia 2007 namun sekadar menjadi pasukan belasahan. – MalaysiaGazette