Home Nasional Perginya tokoh pejuang pendidikan terbilang

Perginya tokoh pejuang pendidikan terbilang

Allahyarham Tun Arshad Ayub

TERLALU amat sedih, hiba dan sayu atas kembalinya ayahanda Tun Arshad Ayub ke Rahmatullah pagi ini (14 Jun 2022).

Tun Arshad adalah benar-benar pejuang Melayu terbilang yang terlalu banyak jasanya kepada pembangunan pendidikan profesional kaum Bumiputera.

Pendidikan kaum Bumiputera dalam pelbagai bidang profesional tidak berada di tahap seperti hari ini tanpa perjuangan gigih Tun Arshad.

Hilang sebuah permata negara yang sukar dicari ganti

UITM yang dulu dikenali sebagai Maktab RIDA, kemudian ITM dan akhirnya UITM adalah sebuah universiti maya sebagai gedung ilmu yang terbesar di Malaysia serta terkenal di seluruh dunia.

UITM kini mempunyai cawangan di setiap negeri dan pelbagai rangkaian dengan jumlah ratusan ribu siswa siswi serta puluhan jenis bidang disiplin pengajian profesional dan akademik.

Jumlah graduan UITM sudah mencecah lebih daripada 600,000 dan tidak sedikit daripada mereka telah mencipta sejarah dan memenangi anugerah antarabangsa seperti bidang perakaunan dan pelbagai reka cipta inovasi teknologi dan Sain.

Inilah graduan Bumiputera profesional hasil daripada jasa perjuangan Tun Arshad.

Saya secara peribadi terlalu rapat dengan Allahyarham sejak menjadi Presiden Kesatuan Siswa ITM (KSITM) pada tahun 1972 hingga 1974 dengan pelbagai kenangan manis dan nostalgia perjuangan menuntut ITM menjadi universiti.

Macam-macam peristiwa yang sudah menjadi sejarah apabila berlaku tunjuk perasaan terbesar dalam sejarah yang mengemparkan negara pada 22 April 1974 oleh siswa siswi ITM yang berjumlah 6,000 orang.

Ketika itu mereka berjalan kaki dari ITM Shah Alam ke Parlimen menuntut agar ITM dinaikkan taraf universiti. Ratusan ditangkap dan tidak sedikit cedera parah serta akhirnya ITM ditutup selama satu bulan.

Di saat yang begini getir, Tun Arshad tetap bersama pelajar-pelajarnya dalam misi perjuangan demi masa depan pendidikan anak bangsa walaupun menerima risiko ditamatkan jawatan Pengarah ITM.

Panjang ceritanya dan sukar dicoretkan melalui kenyataan ringkas ini sebagai penghormatan terakhir buat Bapa Pendidikan Bumiputera dan negara yang terbilang ini.

Saya secara peribadi amat terhutang budi kepada ayahanda Tun Arshad apabila atas kehendaknya saya dibenarkan meneruskan pengajian dan dibenarkan menduduki peperiksaan tahun akhir dalam Kem Tahanan Kemunting, Taiping pada tahun 1975 akibat tahanan ISA.

Saya dibebaskan setelah dua tahun dalam tahanan dan seingatan saya, tiga kali Allahyarham Tun Arshad menziarahi saya di kem tahanan itu, di mana yang terakhir lawatannya ialah ketika saya mengambil peperiksaan akhir.

Ketika itu Tun Arshad Ayub sendiri datang menjengok dan inilah keistimewaan seorang insan yang cukup prihatin kepada anak bangsanya sehingga saya berjaya mendapat ijazah pertama dalam kem tahanan.

Tanpa Tun Arshad siapalah saya.

Dorongan dan semangat Tun Arshad dalam membimbing pelajarnya sewaktu beliau menjadi pengarah amat luar biasa. Teramat garang, tapi amat disayangi oleh semua pelajar di zamannya.

Allahyarham seorang yang tegas dengan pendiriannya mengenai hak kebebasan pelajar dalam membentuk insan berpendidikan yang berani mengambil risiko dalam kehidupan.

Sebab itu graduan ITM di zamannya berjaya dan tidak ada rasa rendah diri, tetapi yakin dengan apa jua cabaran yang dihadapi.

Graduan zaman Tun Arshad bukanlah graduan inferior complex atau rendah diri dan malu alah tidak bertempat. Mereka berani mengambil risiko terhadap apa jua bidang yang diceburi.

Keakraban saya dan Tun Arshad seperti seorang anak dengan bapa dan sahabat tanpa sempadan dengan kenangan pahit manis dan Allahyarham yang membentuk jati diri saya dalam mengharungi perjuangan terutama sifat patriotisma bangsa tanpa noktah.

Ianya menjadi kenangan hidup bagi saya selama-lamanya.

Tun Arshad sudah pergi buat selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Nama Tun Arshad Ayub pasti akan dikenang buat selama-lamanya dan akan meniti di bibir mulut setiap kaum pribumi sebagaimana sebaris nama Mat Kilau atau Tok Janggut yang merupakan simbol idola ‘insan perjuangan bangsa yang terbilang sepanjang zaman’.

Sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT ampun segala dosanya dan disemadi bersama roh para syuhada dan solihin. Insha-Allah.

Takziah kepada Toh Puan Zaleha, anak-anak dan seluruh keluarga Allahyarham, semoga bersabar di atas ketentuan Allah SWT.

Jasamu Tun Arshad tetap dikenang olehku sebagai anak didikmu dari UITM

Al-Fatihah

Dr. Ibrahim Ali

Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali

Presiden Putra&Perkasa

@Mantan Presiden KSITM 1972/1974