PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan UMNO untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap parti politik itu oleh SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya untuk menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Seri Mariana Yahya mendapati tiada merit dalam rayuan UMNO.
“Ini bukanlah suatu kes yang jelas serta sesuai untuk diputuskan melalui permohonan pembatalan,” kata Hakim Hadhariah yang mengetuai panel itu.
Beliau mengatakan bahawa terdapat beberapa isu yang telah ditimbulkan di dalam pliding yang difailkan termasuk isu pelanggaran tanggungjawab fidisuari, pelanggaran amanah, penyalahgunaan duit amanah dan tindakan frod terhadap duit amanah yang hanya boleh diputuskan melalui perbicaraan penuh di mahkamah.
“Kesemua responden (SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd) memohon hak mereka untuk didengar,” katanya sambil menambah jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan, pasti ada cara untuk membetulkannya semula.
Hakim Hadhariah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 November tahun lepas yang menolak permohonan UMNO untuk membatalkan saman itu.
Panel itu juga membatalkan rayuan UMNO terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan SRC International dan anak syarikatnya untuk meminda nama defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan mereka selepas peguam yang mewakili UMNO, Shahrul Fazli Kamaruzaman memberitahu mahkamah mengenai penarikan balik rayuan berhubung keputusan itu.
Panel hakim itu mendengar rayuan tersebut melalui dalam talian.
Dalam writ samannya, SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang tersebut adalah milik SRC International dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.
Syarikat itu pada mulanya memfailkan saman itu dengan menamakan UMNO yang disaman melalui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selaku defendan.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan syarikat itu untuk meminda nama defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan menggantikan Ahmad Zahid dan Ahmad Maslan dengan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Pada 10 Mei 2021, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei 2021 iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.
Peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran. – Bernama