Home Utama SNBJ ditutup mulai esok bagi kerja baik pulih fasiliti

SNBJ ditutup mulai esok bagi kerja baik pulih fasiliti

Para petugas Stadium Nasional Bukit Jalil menggunakan penyodok sampah dan kertas keras menolak air hujan yang bertakung di atas padang. petang tadi.

KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukil Jalil (SNBJ) akan ditutup mulai esok bagi membolehkan kerja baik pulih faslitinya dilakukan dengan segera.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pada perancangan awal SNBJ sepatutnya ditutup pada penghujung Mac 2023 untuk memulakan kerja-kerja baik pulih namun keadaan semasa memerlukan tindakan segera diambil.

“Kementerian Belia dan Sukan memandang serius isu kualiti padang serta fasiliti Stadium Nasional Bukit Jalil dan tidak boleh terus memperjudikan maruah negara dengan melengahkan lagi tindakan yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu lalu, permukaan padang SNBJ bertakung air berikutan hujan lebat tanpa henti lebih dua jam di kawasan sekitar Bukit Jalil.

Berikutan permukaan padang ditakungi air itu menyaksikan para petugas menggunakan penyodok sampah dan kertas keras untuk menolak air hujan yang bertakung yang mana tindakan tersebut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Menurut Faizal, isu kualiti padang serta fasilitinya adalah isu legasi yang harus ditangani secara pantas dan tuntas. – MalaysiaGazette