SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu yang dilakukan sekitar tahun lepas.
Kesemua lelaki berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor petang tadi.
Menurut sumber, mereka disyaki terlibat dalam urusan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kereta atas seorang penama sedangkan tiada tuntutan insurans dibuat oleh penama tersebut.
Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama