Home Nasional 7 pegawai JIM disahkan ditahan SPRM – Khairul Dzaimee

7 pegawai JIM disahkan ditahan SPRM – Khairul Dzaimee

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud . Foto MUHD NA'IM, 09 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Tujuh orang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (SPRM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini selepas disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran pas dan dokumen secara tidak teratur serta dituduh melindungi warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, tangkapan berkenaan dibuat hasil daripada kerjasama antara JIM dengan SPRM.

“Penahanan mereka adalah hasil daripada kerjasama antara Jabatan ini dan SPRM khususnya dari segi perkongsian maklumat.

“Kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan secara penuh professional,” katanya menerusi kenyataan.

Khairul Dzaimee memberi jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperoleh wang secara mudah.

“Kesemua yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya lagi.

Baru-baru ini, seramai tujuh pegawai penguatkuasa agensi kerajaan dan dua orang awam termasuk warga asing direman antara lima ke tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM500,000.

Mereka ditahan di Sarawak dan Selangor pada 13 Jun selepas disyaki meminta dan menerima suapan berkaitan pas pekerja asing antara 2019 hingga tahun lalu.

Perintah reman kemudian dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuching, Sarikei dan Shah Alam selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penahanan pertama di Sarawak membabitkan pegawai kanan berumur dalam lingkuan 50-an dan lelaki warga asing berusia 30-an dipercayai meminta serta menerima wang berjumlah lebih RM300,000 daripada beberapa individu.

Individu mengaji pekerja asing sebagai balasan untuk memudahkan permohonan pas pekerja yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Pegawai kanan itu direman enam hari dan warga asing selama lima hari, dengan perintah reman dikeluarkan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di sini.

Dalam masa yang sama, Syarifah Fatimah Azura turut membenarkan seorang lagi pegawai penguat kuasa yang ditahan di pejabat SPRM Sarawak, direman tujuh hari.

Mahkamah Majistret Sarikei, Penolong Pendaftar Frouline Aging, membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap empat pegawai penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan bermula hari ini.

Pegawai kanan itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada individu yang menggaji pekerja asing secara tidak sah sebagai balasan memudahkan permohonan pas pekerja asing dan dorongan supaya tidak mengambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/1963.

Di Mahkamah Majistret Shah Alam pula, Majistret Mohamad Redza Azahar Rezali membenarkan permohonan reman empat hari terhadap seorang pegawai penguatkuasa kerana dipercayai meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM200,000 daripada individu yang menggaji pekerja asing secara tidak sah.

Pegawai tersebut dipercayai bersubahat dengan penguatkuasa itu direman empat hari oleh mahkamah sama.-MalaysiaGazette